Tuesday, May 29, 2012

POP CORN

POP CORN adalah sejenis makanan berasaskan Jagung (Zea mays) yang popular sebagai makanan ringan. Ramai diantara kita kenal 'Pop Corn' atau dalam bahasa Melayu mungkin 'Jagung Bertih' yang rangup, empuk dan manis kerana dicampur dengan gula. Bagaimana jagung ini dihasilkan dan apakah teknologi yang dijalankan sehingga jagung ini boleh didapati dengan mudah. Pop Corn terjadi apabila biji jagung yang mengandungi banyak kanji yang diliputi dengan kulit jagung keras akan mengembang apabila di panaskan. Pengembangan kanji lembab ini akan menyebabkan berlaku letupan atau 'pop' apabila panas. Jenis jagung pop corn adalah berbeza dengan jagung biasa yang kita makan atau pun jenis jagung manis. Jagung pop corn agak bulat bersaiz kecil dan berwarna kuning pekat (lihat foto dibawah). Artikel malam ini saya menulis mengenai jagung bertih atau lebih dikenali sebagai 'Pop Corn' untuk bacaan semua.


Jagung pop corn telah ditemui oleh manusia semenjak beribu-ribu tahun dulu oleh penduduk asli di Amerika dan Mexico sebagai jagung untuk dijadikan makanan. Kedatangan bangsa Inggeris ke Amerika Utara telah mengembangkan lagi jagung jenis ini sebagai satu komoditi penting dan terus dikembangkan keseluruh dunia. Pokok jagung jenis pop corn ditanam seperti pokok jagung yang lain dengan jarak tanaman 0.75 meter x 0.25 meter memberikan kepadatan sehingga 40,000 pokok sehektar. Benih dimasukkan 2 biji satu lubang yang telah dirawat dengan racun kulat seperti Thiram dan Capstan. Anggaran keperluan benih sebanyak 15 - 20 kg sehektar bergantung kepada cara menanam. Pembajaan dan pengairan untuk tanaman jagung adalah penting begitu juga dengan pemberian kapor GML untuk menaikan kesuburan tanah. Lazimnya penanaman jagung pop corn dijadualkan agar dapat memberikan hasil yang baik dan teratur.


Jagung pop corn yang kering mudah didapati dari kedai pembekal jagung pop corn yang dijual dalam bungkusan plastik (Lihat foto sebelah). Pastikan jagung tersebut masih segar dan akan memberikan kualiti yang baik ketika di proses didalam mesin pop corn atau dimasak sendiri dirumah menggunakan vacuum fryer. Jagung pop corn yang dijual berbeza harga antara kawasan dan kesegarannya. Kajian mendapati ada yang menjual pada harga RM 8.00 sebungkus sehingga RM 15.00 sebungkus (mungkin berat dalam bungkusan berbeza). Jagung popcorn yang disimpan dalam suhu dingin agak tahan berbanding dengan yang tidak disimpan dalam hawa dingin atau terbuka. Dalam memproses membuat pop corn perlukan alatan memasak pop corn yang dijual di kedai-kedai menjual alatan memasak.


Terdapat pelbagai jenis mesin memproses pop corn dijual dipasaran daripada jenis mudah dan murah sehingga yang canggih dan mampu memproses dengan kuantiti yang banyak. Kebanyakan mesin ini  menggunakan kuasa pemanas eletrik untuk memanaskan heater memasak popcorn. Di Penjual popcorn di Pasar Malam lazimnya mereka menggunakan generator sementara di Hypermarket menggunakan bekalan tenaga letrik TNB. Jagung mentah akan di campur dengan majerin, gula, sedikit garam dan beberapa ramuan perasa lain kedalam mangkuk pemanas. Apabila mangkuk pemanas di pasang dan suhu meningkat maka biji jagung popcon akan meletup-letup dn jatuh kebahagian bawah bekan mesin ini dan sedia untuk di bungkus aatau dimakan. Terdapat mereka yang kreatif mencampurkan bahan pewarna untuk menghasilkan popcorn berwarna warna dan juga bahan perisa khusus bagi yang menggemarinya. Terdapat berbagai resepi untuk menyediakan popcorn.


Kandungan makanan popcorn adalah kaya dengan bahan serat yang baik untuk kesihatan tubuh badan manusia. Kajian saintis menunjukkan setiap 100 gram popcorn mengandungi sebanyak 1,600 kJ tenaga (380 kalori), 12 gram Protin, 4 gram lemak, 78 gram kabohiderat, 15 gram serat dan beberapa jenis vitamin. Vitamin Thiamine (Vitamin B1) sebanyak 17% atau 0.2 mg serta vitamin B2 (Riboflavin) sebanyak 25% atau 0.3 mg. Popcorn juga mengandungi zat besi sebanyak 2.7 mg dan baik untuk kesihatan.


Beberapa pakar makanan mengesyorkan agar makanan popcorn ini tidak boleh diberikan kepada kanak-kanak dibawah umur 4 tahun. Tahu kenapa ?... ini disebabkan popcorn boleh menyebabkan kanak-kanak akan tercekik (choking) jika dimasukan kedalam mulut sendiri tanpa pengawasan. Penanaman jagung popcorn di Malaysia belum ada laporan rasmi mengenai dimana ia ditanam dan keluasannya. Mungkin ada petani yang telah menanam jagung popcorn tanpa ianya sendiri tahu yang jagung tersebut adalah jagung jenis popcorn. Kebanyakan biji jagung popcorn yang dijual dipercayai diimpot dari luar. Wasallam.


JAGUNG POPCORN... ENAK RASANYA....
GULA DI GAUL... MANIS RASANYA...
SEMASA PANAS...ENAK RASANYA...
APABILA SEJUK... SIAPA MAHUNYA...


By,
M Anem
Room 1609, Ipoh City Hotel,
Ipoh, Perak, 
Malaysia.
(9 Rejab 1433H)

No comments: