Sunday, April 1, 2012

LIMAU PAGAR

LIMAU PAGAR (Fortunella polyandra) merupakan sejenis timbuhan dari keluarga Rutaceae iaitu satu kumpulan dengan jenis Limau. Limau ini juga di panggil dengan nama MALAYAN KUMQUAT iaitu sejenis tumbuhan yang memang ada semulajadi atau natif dari negara kita iaitu Semenanjung Malaysia serta kurang dikenali dinegara lain. Nama lain pokok ini seperti Limau Pagar (Melayu), Marai KinKan ; Nagana Kinkan (Jepun), Chang Ye Jin gan ; Malayan jin Gan (China), Long-leaves kumquat ; Single Kumquat dan Malayan Kumquat (English). Walau pun ramai diantara kita yang kenal pokok ini banyak dibuat untuk tanaman hiasan keliling rumah, tetapi ada pengusaha yang menanam limau pagar ini untuk tujuan mendapatkan hasil buahnya. Pokok ini adalah berasal dari keadaan liar semulajadi di negara kita dan kini mulai diminati oleh para saintis untuk mengetahui kebaikannya dan kegunaannya didalam program biakbaka tanaman jeins limau. Artikel pagi Isnin sempena cuti rehat petang ini saya menulis sedikit maklumat mengenai Limau Pagar atau lebih popular dengan nama Malayan Kumquat untuk bacaan bersama dan menambah ilmu pengetahuan kita bersama-sama.


Pokok Limau Pagar Tempatan yang saya kenal dan lihat merupakan sejenis pokok renek dengan ketinggiannya mampu mencapai 3-5 meter dimana bentuk percabangan adalah menegak ketika muda tetapi akan membentuk bulat (round shape canopy) apabila pokok bertambah dewasa. Walau pun pokok bercabang, tetapi sering juga mempunyai batang utama ditengahnya dan membentuk kanopi yang seimbang (Lihat foto sebelah atas ). Pokok ini boleh ditanam terus diatas tanah atau pun ditanam didalam pasu besar. Daun limau pagar berwarna hijau gelap dari jenis daun 'simple' yang susunannya bersilang dan juga 'lanceolate'. Bentuk daunya tirus atau membulat dibahagian hujung dengan ukuran saiz daun antara 3-5 cm panjang dan 1-3 cm lebar.  Bunganya berwarna putih dengan single atau dalam satu jambak sebanyak 2-5 kuntum yang keluar dari  ruas antara celah daun.  Bunga adalaah jenis Hermaprodite dimana terdapat 16-20 stamen diatasnya dan stigma yang agak masuk kedalam.  Buah Limau Pagar berbentuk Bulat Lonjong (Globose shape) atau Bulat Panjang dengan ukuran 2-3 cm diameter bergantung kepada varieti dan spesis.


Warna buahnya adalah kuning oren atau oren terang yang berkilat (shiny skin) dengan mempunyai 4-6 bahagian didalamnya (segmented) setiap biji buah. Buah ini mempunyai bau atau aroma yang kuat dengan kulit yang licin (smooth skin) serta berjus atau berair didalamnya. Buah yang masih muda lazimnya berwarna hijau dan bentuk yang sama dengan limau matang. Pokok Kumquat yang ada dinegara lain seperti di Filipina, Jepun dan China mempunyai bentuk buah berbeza seperti BULAT (Marumi kumquat)  BULAT BUJUR (Nagami Kumquat). Warna kuning pada buah yang terang dicelah-celah daun hijau gelap ini menjadikan pokok ini sangat cantik ditanam dikeliling rumah sebagai pokok hiasan. Pada perayaan tahun baru China contohnya beberapa spesis limau pagar atau Limau Kumquat dijual dengan harga mahal jika pokoknya banyak buah dan eksotik. 


Pokok Limau Pagar boleh ditanam di atas tanah atau pada masa ini lebih digemari untuk ditanam didalam pasu. Benih pokok ini boleh didapati daripada Tut atau daripada Biji benih yang disemai dahulu. Tanam anakbenih untuk tujuan pagar dan hiasan  dengan jarak 1-3 meter dalam lubang penanaman yang diisikan dengan baja asas dan baja organik sebanyak 2-5 kg satu lubang. Kalau menanam secara monokrop dikawasan kebun disyor ditanam dengan jarak 2 m x 3 meter bagi penghasilan buah. Limau ini disyorkan ditanam dikawasan yang tidak mudah banjir atau kawasan mudah tenggelam kerana kebanyak tanaman dari keluarga Rutaceae (Citrus group) adalah tidak tahan.  Buat pangkasan pembentukan diperingkat awal untuk mendapatkan bentuk pokok yang dikehendakkii terutama jika untuk tanaman pagar. Pokok ini mudah hidup dan tahan lasak. Kajian mendapati pokok ini tidak mempunyai banyak masaalah serangan serangga perosak atau penyakit. Kadang-kadang terdapat serangan ulat makan daun dan ulat pelombong daun (Leaf miner) yang tidak serius.


Pokok Limau Pagar dari varieti yang banyak berhasil akan mula berbunga selepas 1-3 tahun ditanam bergantung kepada cara pengurusan pokok. Buah yang telah masak berwarna oren kuning terang (Lihat foto sebelah) dan mengandungi jus yang masam. Pokok Limau Pagar atau Kumquat ini berbunga dan berbuah sepanjang tahun tetapi ada musim puncak dalam masa setahun sebanyak dua kali. Pastikan program pembajaan dijalankan dengan baja NPK 15:15:15 pada tahun pertama dan apabila berbuah gunakan baja Sebatian NPK 12:12:17:2 serta baja organan. Terdapat beberapa biji didalamnya yang boleh digunakan untuk tujuan pembiakan jika mahu. Antara kegunaan limau ini adalah untuk dijadikan ramuan bagi SAMBAL BELACAN. Memang best makan nasi dengan sambal belacan ada limau ini.Bagi mereka yang suka boleh ambil buah limau kumquat dan potong dua untuk diperah dan diambil pati jusnya bagi tujuan minuman berasaskan limau. Kalau kita lambat petik kadang-kadang kandungan jus didalamnya agak kurang atau juga kering. 


Limau ini dikutip dan di proses untuk dijadikan HALWA LIMAU atau dikeringkan untuk dijadikan produk proses KUMQUAT KERING (Lihat foto sebelah). Lazimnya buah limau ini dipetik apabila hampir masak (jangan terlalu lewat petik hasil) dan teris diproses. Cara memproses juga agak mudah iaitu dengan mengeluarkan jusnya dan kemudian limau direbus dengan air panas. Toskan dam dicampur dengan bahan pengawet seperti gula dan garam sebelum proses pengeringan menggunakan oven atau dibawah jenmuran sinaran matahari (Cara tradisional). Limau ini masam dan tidak ada masaalah serangan kulat ketika proses membuatnya. Bagi yang suka halwa masin tambahkan garam semantara yang suka Manis gunakan gula. Halwa Kumquat yang telah siap akan dibungkuskan dengan plastik pembungkus yang terang dan nampak isinya seberat 50 -15 gram sebungkus. Sambil memandu kereta kalau mengantuk...makan kumquar yang masin atau manis untuk menyegarkan mata...Wasallam.


LIMAU PAGAR ...KUMQUAT JUGA GELARANNYA.....
KURANG DIKENALI...CANTIK WARNA BUAHNYA....
MUDAH DITANAM...TIADA MASALAH JAGANYA.. .
TANAM SENDIRI....NAK BENIH BOLEH BERTANYA....


Related articles:
1. Limau Kasturi (Klik didini)
2. Limau Mandarin (Klik disini)
3. Limau Gedang (Klik disini)
4. Limau Lemon (Klik disini)
5. Limau Purut (Klik disini)
6. Limau Bali (Klik disini)
7. Limau Nipis (Klik disini)
8. klon Limau di Malaysia (Klik disini)
9. Citrus Greening Disease (Klik didini)


By.
M Anim
Puchong Lestari Perdana,
Serdang, Slelangor,
Malaysia.
(9 JamadilAwal 1433H)

No comments: