Monday, January 16, 2012

SISTEM PARA TRELLIS

SISTEM PARA TRELLIS merupakan satu kaedah menyediakan infrastruktur junjung bagi tanaman sayuran yang menjalar. Tanaman sayuran yang memerlukan Sistem Junjung dan yang serupa dengannya perlu disediakan kemudahan tersebut bagi memudahkan tanaman tersebut menjalar kebahagian atas para atau junjung bagi memudahkan pengurusan dan meningkatkan penghasilan. Antara jenis tanaman sayuran yang memerlukan sistem junjung adalah seperti Timun (Cucumis sativus), Petola (Luffa acutangula) , Peria (Momordica charantia), Kacang Panjang (Vigna sinensis), Kacang Buncis (Phaseolus vulgaris) , Kacang Botor (Psophocarpus tetragolobus) dan sebagainya. Kayu Pancang, Kayu Junjung dan Sistem Trellis merupakan satu sistem yang sering digunakan di Malaysia oleh penanam sayuran. Artikel malam ini saya membincangkan teknologi sistem para trellis untuk pengetahuan anda semua berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan pengetahuan penlis dalam bidang pertanian selama lebih 30 tahun.


Dalam amalan memasang Sistem Kayu Junjung atau Kayu Pancang secara tradisional lazimnya Kayu Junjung yang digunakan adalah dari Buluh atau Anak Kayu yang lurus digunakan dengan memacakkan diatas batas secara bersilang (Lihat foto diatas). Kayu pancang sepanjang 2.5 - 3.5 meter dengan ukurlilit kayu bersaiz 2-4 cm dicacak diatas batas tanaman dengan jarak 0.2m - 0.4m jarak mengikut kesesuaian jarak tanaman. Ada petani yang suka untuk menyambung bahagian atas kayu junjung dengan kayu dan mengikatnya. Anak pokok akan diajar menjalar secara melilit atau melalui 'tendril' dari pangkal pokok sehingga keatas. Anggaran kos bagi sebatang kayu junjung sekitar RM 0.80 - RM 1.50 sebatang bergantung kepada jenis, saiz dan jarak penghantaran. Kayu junjung jenis ini tahan digunakan untuk 2-4 tahun sahaja. Setiapkali kerja penyediaan tanah kayu junjung ini akan dicabut dan dipasang semula kemudian setiap musim penanaman. 


Bagi petani sayuran berjunjung yang komersil dan luas terutama di Negeri2 Selatan Tanah Air seperti di Johor , Melaka dan Pahang, Sistem Para Trellis menjadi teknologi moden yang sering digunakan. Sistem ini menggunakan struktur yang tahan lama dan tetap kukuh disuatu kawasan dengan menggunakan komponen Tiang Kayu, Kawat atau Dawai Kasar dan Sistem Sokongan (Lihat Rajah diatas). Komponen utama sistem trellis adalah Tiang Kayu di setiap penjuru dan sepanjang tepi para dengan kedudukan menegak atau condong. Tiang berukuran Beruti (8 cm x 10 cm) dengan ketinggian 2.5 meter ditanam sedalam 0.6 m dalam tanah. Jarak tiang ini mengikut kesesuaian jenis tanaman dan saiz sistem trellis iaitu sekitar 1.2 - 2.0 meter. Rentang dawai kasar ( Lazimnya dawai No. 10) diatasnya yang menyambungkan antara tiang dan diikat dengan kayu sokong dipenghujung tiang terus dipacak ketanah. Kekuatan kawat sokong ini adalah sangat penting bagi menampung berat tumbuhan iaitu daun dan buah yang akan dihasilkan. Saya sering gunakan sejenis alat penarik kawat bagi mengukuhkan ikatan dengan tarik rengangan kawat kasar tersebut semasa proses memasangnya.


Kawat Kasar yang di pasang diatas tiang utama dengan jarak 0.5 - 1.0 meter dan diikat kuat bergantung kepada jenis tanaman. Beberapa batas tanaman dibawahnya disediakan dan kemudian dipasang dengan sistem pengairan dan plastik silvershine semasa penyediaan tanah (Lihat foto sebelah). Ketinggian sistem para trellis ini sebaiknya 2.5 - 3.0 meter dimana Trekter Kecil (Seperti jenis KUBOTA B6000) atau Trekter 2-roda mudah lalu dibawahnya untuk kerja menggemburkan tanah. Anak benih yang ditanam akan diajar menjalar menggunakan tali rafia (Tali plastik yang lazimnya berwarna hijau) yang diikat dan digantung dari dawai kasar diatasnya. Tanaman akan menjalar sehingga ke bahagian lantai dawai dan terus menjalar di keseluruhan sistem trellis sehingga aktiviti menuai kelak. Bagi sesetengah tanaman sayuran menjalar perlu dibuat cantasan pembentukan dan aktiviti menjalar diperingkat awal agar pucuk tanaman tidah jatuh atau turun ketanah semula.


Sebaiknya perlu dikira keperluan tiang utama sistem trellis agar dapat menampong bebanan berat atau 'load' tanaman. Pengalaman saya di TKPM Sekijang , Segamat dulu pernah lihat bagaimana sistem para trellis ini telah roboh akibat hujan lebat dan buah yang tidak dipungut oleh pekerja dan struktur yang didapati sememangnya kurang kukuh. Aktiviti utama seperti menanam, menjarang, menyulam, membaja, merumput, mengawal rumpai dan memungut hasil menjadi mudah dibawah sistem trellis kerana lapang dan mudah dilalui berbanding dengan sistem kayu pancang tradisional. Sistem ini tahan lama walau pun kos membina sistem ini agak mahal berkali ganda dari sistem tradisional. Kajian saya di beberapa daerah di Johor mendapati untuk biaya sehektar sistem ini memerlukan kos sebanyak RM 12,000 - RM 16,000 sehektar bergantung kepada kos bahan asas seperti tiang dan upah membuatnya.


Encik Murad membina sistem trellis di Spang Loi, Kg Paya Segamat dimana pekerja nya boleh menaiki bahagian aatas Sistem Para Trellis untuk kerja membersihkan selepas habis musim menuai (Lihat foto). Sisa tanaman di potong dan ditarik keluar kemudian dikumpulkan untuk dibakar atau diproses dijadikan baja kompos. Pemeriksaan setiap dawai dan tiang dilakukan dan pembaikan dibuat dengan menggantikan kawat yang putus atau tiang yang patah dengan yang baru.


Teknologi Sistem Para Trellis memang disyorkan untuk di gunakan terutamanya penanam sayur komersil. Antara kelebihan sistem ini adalah faktur ketahanan, mudah menjalankan aktiviti dibawahnya, senang diselenggara, kukuh, boleh gunakan jentera dibawahnya serta penggunaan buruh yang dijimatkan. Kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan teknologi sistem trellis boleh berhubung dengan pihak yang berkaitan. Wassalam. . .


SISTEM PARA TRELLIS...CARA BARU...
BANYAK FAEDAH...HASIL DITUMPU...
TAHAN LAMA...KOS YANG BERIBU...
TAK TAHU BUAT...BACA BLOG-KU...    


By,
M Anem
Pct 11, Putrajaya,
Malaysia
(22 Safar 1433H)            

No comments: