Saturday, December 10, 2011

CIKU (Part 2)

Ciku (Manikara sapota) adalah sejenis buah-buahan dari keluarga Sapotaceae yang ditanam di Malaysia dengan keluasan sebanyak 1,115 hektar pada tahun 2010 dan menghasilkan sebanyak 6,050 metrik tan yang bernilai RM 18.1 juta. Tanaman ciku dibuat sebagai tanam dudun bercampor dan jarang-jarang ada petani yang menanam ciku secara monokrop. Kebanyakan buah ciku di Malaysia adalah untuk pasaran segar dengan sebahagian kecil sahaja yang di ekspot atau di proses. Antara 3 jenis varieti ciku yang popular ditanam di Malaysia adalah Klon Ciku Jantung (C62), Klon Ciku Subang (C63) dan yang terkini adalah Klon Ciku Mega C19. Bagaimana pun penanaman ciku Mega C19 hasil kajian MARDI masih belum berkembang kerana banyak faktur. Atrikel petang ini saya menulis sambungan teknologi mengenai ciku untuk tatapan pembaca semua.


Penanaman ciku perlukan cantasan pembentukkan dengan memotong pokok ciku yang berumur 1 tahun lebih setinggi 1 meter dari paras tanah. Biarkan 3-4 dahan utama tumbuh secara seimbang dan buang yunas-tunas lain yang tidak diperlukan. Dahan yang menghala kedalam dan dahan berpenyakit perlu dibuang dan sapukan dengan Bahan Kimia Captafol dibahagian yang dipotong untuk elakkan jangkitan. Kawalan rumpai dalam dusun ciku perlu dijalankan dengan cara manual atau menggunakan racun rumpai. Pokok dewasa digalakkan memotong rumput dengan mesin pemotong rumput. Pokok ciku sebaiknya dibekalkan air dengan sistem pengairan titis. Keperluan air pokok ciku dewasa sekitar 200 -800 liter sepokok sehari dan sistem pengairan titis atau sistem pengairan mikro-sprinkler berharga sekitar RM 4,500 - RM 6,000 sehektar.


Antara serangga perosak tanaman ciku adalah Ulat Pengorek Buah (Nephopterix piratis) yang mana kupu-kupu dewasa bertelur (Foto disebelah) pada permukaan buah ciku yang membesar dan larvanya masuk kedalam buah yang mengakibatkan buah akan rosak dan gugur. Kawalan dengan mengutip buah yang rosak dan masukkan kedalam plastik diikat selama 10 hari sehingga kitaran hudupnya tamat. Lalat Buah (Bactocera spp) pula menyerang buah ciku yang hampir masak dengan lalat betina menyucuk permukaan buah untuk bertelur. Larva yang menetas 2-3 hari kemudan merosakan isi buah dan berair. Kawalan dengan memasang perangkap dengan feromon Methyl Eugenol dan mengutip buah rosak dan  musnahkannya. Ulat Pelipat Daun (Banisia myrusalis) menyerang bahagian pucuk daun dimana kupu2 bentia bertelur dikawasan pucuk dan larvanya merosakkan pucuk dengan memakan episermis daun dan kawalan hanya dengan mengutip larva dan musnahkannya. Ulat Pelombong Daun (Acrocercops spp) menebuk lubang terowong dibahagian bawah eprdermis daun dan menyebabkan daun menjadi kering dan gugur.  Kawalan menggunakan stiker kuning atau stiker biru. Koya (Phaenococcus spp) merupakan serangga yang menghisap air masisan sap di bahagian pucuk dan daun. Akibatnya akan menyebabkan serangan kulat kulapok berdebu dan jelaga hitam dikawal dengan menggunakan bahan 'white oil' pada 0.1% ai.


Terdapat 3 jenis penyakit yang menyerang tanaman ciku pada pemerhatian yang saya jalankan. Penyakit pertama adalah Penyakit Cendawan Angin (Corticum salmonicolor) yang menyerang bahagian batang, ranting dan dahan (Lihat foto sebelah). Terdapat miselium berwarna merah jambu pada bahagian celah-celah kulit batang diserang dan keadaan teruk meliputi sekeliling batang. Bahagian diserang akan menjadi kering dan akan mati. Kawalan dengan mencantas bahagian diserang dan musnahkannya serta menggunakan bahan kimia copper-oxychloride yang disapu pada bahagian diserang. Penyakit Jelaga Hitam (Disebabkan oleh Kulat Atalorderma satosum dengan Kulat Microxipium spp dan Kulat Nitrochambe nitrese) menyerang permukaan daun, ranting, dahan dan batang akibat cairan manis oleh petogen lain seperti koya dan teritip.  Kawalan dengan musbahkan serangga teritip dan koya. Penyakit Puru (Agrobacterium spp) menyerang bahagian pucuk dan dahan yang kelihatan seperti membengkak seakan berpuru. Kawalan dengan mencantas bahagian yang diserang dan musnahkannya.


Kerja membuat penjarangan buah dibuat dengan membuant putik buah yang bersaiz kecil, berpenyakit , bentuk ganjik dan meninggalkan hanya 1-2 biji sahaja satu jambak buah. Kaedah ini menjamin saiz buah yang seragam dan lebih besar untuk dipasarkan selain dari tahap kemanisan yang baik. Pengalaman saya ketika melaksanakan projek penanaman ciku di Melaka ketika bertugas di projek MIADP dulu mendapati pokok ciku berbuah selepas 2-3 tahun ditanam. Kadar hasil buah bergantung kepada kejayaan proses pendebungaan. Lazimnya bunga ciku akan keluar pada hujung ranting tua selepas musim panas. Catitan saya mendapati walau pun bunga ciku keluar sepanjang tahun tetapi ada dua masa pengeluaran puncak dalam setahun iaitu pada bulan Jan-Feb dan Oktober-November.


Penuaian buah ciku ada 5 tahap masak yang boleh dijadikan garispanduan anda semua. Indeks 1 adalah dimana buah ciku masih Hijau dan tidak akan masak sebaliknya kecut. Indeks 2 dimana buah ciku berwarna hijau kekuningan dan akan masak dalam masa 8-10 hari jika diperam. Indeks 3 dimana buah ciku berwarna coklat dan akan masak dalam masa 6-8 hari. Indeks 4 buah ciku berwarna coklat kekuningan dan masak dalam masa 5-7 hari. Indeks 5 adalah paling masak dimana kulit ciku berwarna kuning kecoklatan dan masak dalam masa 0-3 hari sahaja. Cara memetik buah ciku sebaiknya dengan tangan dan memanjat pokok atau menggunakan tangga. Ada yang menggunakan galah yang ada srung jaring supaya buah melorot kedalam bekas. Ada juga menggunakan buloh yang ada kon terbuka disalut kain agar buah tidak cedera. 


Buah ciku lazimnya tahan selama 7-8 hari yang dipetik pada indeks 2-4 pada keadaan suhu biasa. Bagaimana pun ketahanan penyimpanan buah ciku boleh dipanjangkan lagi dengan memasukkannya dalam suhu dingin sekitar 13-15 darjah selsius dimana ciku subang tahan sehingga 1-2 minggu dan ciku jantung sehingga 2-3 minggu. Kajian menunjukkan belum ada teknologi yang mampu menyimpan buah ciku melebihi 3 minggu (Kalah kita dengan teknologi penyimpanan buah KIWI - berbulan2 lamanya). Dari segi gred pula buah yang beratnya lebih 100 gram sebiji adalah Gred A sementara buah ciku yang beratnya kurang dari 100 gram sebiji jatuh Gred B. Teknologi mempercepatkan buah ciku masak yang lazim digunakan di Malaysia menggunakan bahan Kalsium karbid dengan kadar 20 gram setiap 1 kg buah. Masukkan buah dalam guni bersama kalsium karbid selama 24 jam dan keluarkan dan buah akan masak 2-3 hari kemudian. Saya paling suka minum jus buah ciku segar (Lihat foto distas).


Analisa ekonomi penanaman ciku menunjukkan pokok ciku mula berhasil pada tahun ke 3 sebanyak 1,200 kg sehektar meningkat kepada 40,000 kh sehektar pada umur lebih 20 tahun. Dengan purata harga ladang RM 1.00 sekilogram petani akan dapat pulang balik midal pada tahun ke 8 penanaman. Nilai Kini Bersih projek ciku sekitar RM 41,000 dengan kadar pulangan dalam (IRR) sebanyak 24%. Nilai kadar faedah kos projek ciku (BC RAtio) pula adalah sebanyak RM 1.95 iaitu nilai positif yang menguntungkan. Kepada mereka yang ingin menceburi penanaman ciku perlu tahu teknologi penanaman ciku sehingga mampu memasarkannya. Penanam ciku kena banyak bersabar kerana pokok ciku memang lambat membesar tetapi apabila pokok sudah cukup matang kerjanya adalah menuai hasil sahaja. Tanamlah buah ciku untuk bekalan makanan negara.


TANAM CIKU...DIBELAKANG RUMAH...
CARA MENANAM..KENA BERHEMAH...
AMALAN AGRONOMI...PERLU DIIKUTI...
HASIL DIJUAL...PAHALA DIPEROLEHI...


Related articles:
1. Klon ciku di Malaysia (Klik disini)
2. Ciku - Part 1 (Klik disini)
3. Klon Buah Popular di Malaysia (Klik disini)
4. Mengetut pokok ciku (Klik disini)
5. Cashflow buah-buahan (klik disini)


By,
M Anem
Putrajaya
Malaysia
(11 Muharam 1433)

No comments: