Tuesday, November 22, 2011

PUTAT

POKOK PUTAT (Barringtonia spp.) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga Lecythidaceae yang tumbuh liar di negara kita Malaysia dan beberapa negara tropika yang lain. Pokok putat di negara kita sering dikaitkan dengan 'PUCUK PUTAT' yang dijadikan sebagai ulam jenis daun yang dimakan segar bersama-sama nasi, sambal belacan atau budu. Saya mula mengenali daun putat semasa pergi kesebuah restoran sewaktu makan tengahari di Bandar Hilir Melaka pada tahun 1980. Mula-mula memang tidak biasa dengan pucuk daun putat tetapi kini menjadi kegemaran untuk makan daun putat. Pembacaan dari beberapa sumber melaporkan terdapat lebih dari 40 spesis pokok putat tetapi hanya 6 spesis yang popular di Malaysia iaitu Putat Laut (Barringtonia asiatica), Putat Kampong (Barringtonia racemosa), Putat Air, Putat Darat, Putat Ayam dan Putat Sungai. Artikel subuh ini saya menulis mengenai pokok putat untuk bacaan umum.


Pokok Putat Kampong (Barringtonia racemosa) tumbuh dikawasan yang lembab atau tebing sungai di negara kita secara semulajadi. Pokok ini mampu tumbuh sehingga 20-25 meter dengan dahan merimbun dan pokok menegak. Daun putat berbentuk lonjong, panjang dan agak tebal dimana tepinya macam bergerigi kecil dan berwarna merah keunguan semasa muda bertukar kepada hijau kuat apabila matang. Pucuk putat yang muda dan lembut inilah yang dipetik untuk dijadikan ulam yang mempunyai rasa masam, kelat dan lemak. Bunga pokok putat mempunyai 4 kelopak dimana kudupnya berwarna ungu atau putih mengikut spesis. Buahnya mempunyai banyak bentuk seperti bentuk bulat, bulat bujur atau bersegi lapan dan sebagainya yang berwarna hijau terang ketika muda. Ukuran buah lingkungan 6-8 cm panjang dan 3-5 cm lebar mengandungi biji benih yang berbentuk leper.


Pembiakan pokok putat laut pula melalui biji buah yang gugur ditanah atau diatas air yang terapong sehingga tumbuh dikawasan baru. Bagi buah putat laut buahnya boleh terapong dalam air laut dan tahan lama sehingga bertahun-tahun. Buah putat boleh dikopek atau dipotong sebelum dihiris sebagai ulam dengan mempunyai rasa kelat dan masam. Buah putat juga digunakan sebagai ubat untuk merawat masaalah gatal-gatal pada kulit. Buah putat yang dilumatkan pula apabila ditampal pada muka mampu melicinkan kulit muka dan menjadi lembut. Pucuk putat yang dipetik muda dan dimakan sebagai ulam dipercayai dapat mmelancarkan peredaran darah dan melicinkan kulit. Daunya pula apabila direbus dan diminum dapat menyejukkan badan dan elakkan penyakit keputihan. Daun yang direbus dengan beras dan disapukan pada bekas cacar air dapat memyembuhkan dengan segera. Kulit pokok putat yang dibakar dan disedut melalui hidung juga didakwa dapat menyembuhkan masaalah resdung.


Pokok putat merupakan tumbuhan semulajadi yang tumbuh ditebing sungai dan pantai di tepi laut berfungsi sebagai tumbuhan penahan hakisan. Ekosistem yang ujud dikawasan tumbuhan ini membantu untuk hidupan seperti ikan, udang, siput dan sebagainya membiak. Aktiviti memusnahkan kawasan tumbuhan putat laut akan mennjadikan tumbuhan iai akan pupus dimasa akan datang. Penanaman pokok putat yang musnah dijalankan oleh pihak berkuasa dengan menyemai biji benih putat laut dan menanamnya dikawasan terjejas. 


Ulam Daun Pucuk Putat memang ada dijual dipasar basah, pasar tani, pasar malam untuk dimakan segar. Beberapa restoran dan hotel terkemuka juga kadang-kadang menghidangkan ulam pucuk putat uuntuk pelanggannya. Harga runcit sekitar RM 1.50 - RM 2.00 satu ikat bergantung kepada kesegaran dan sumber bekalan. Pucuk ini sedap dimakan segar walau pun ianya boleh disimpan didalam peti sejuk untuk 3-4 hari. Kini kalau ada kawasan keliling rumah sesuai untuk ditanam dengan pokok putat boleh diusahakan menanam sendiri atau tanam dalam pasu atau pot. Pucuk putat perlu dipetik selalu untuk menghasilkan pucuk yang lebih banyak.


PUCUK PUTAT...DIMAKAN UNTUK ULAM...
POKOK TUMBUH....TEPI SUNGAI DAN KOLAM...
ENAK DIMAKAN...TENGAHARI DAN MALAM..
HARGANYA MURAH...DIIKAT DARI SEMALAM...      


By,
M Anem
Lembah Kinta,
Ipoh, Perak,
Malaysia
(25 Zulhijjah 1432H)     

No comments: