RAMBUTAN GADING MUAR (Nephelium lappaceum Linn) merupakan satu varieti rambutan iaitu sejenis buah yang mempunyai 'Rambut' dari keluarga SAPOTACEAE yang popular semenjak dulu kala kerana keunikkan ‘warna kuning’ yang menarik, tahap kemanisan yang sederhana dan merupakan rambutan yang sangat lekang. Varieti ini telah didaftarkan kepada Jabatan Pertanian selaku Pendaftar Varieti Tanaman oleh Encik Ng Ah Kow daripada Sg. Nibong, Muar, Johor tetapi tarikh pendaftaran tidak dicatitkan kemungkinan sekitar tahun 1960’an awal kalau disemak dari siri Daftar Klon iaitu bernombor R156. Semasa didaftarkan dicatit rambutan ini sebagai bersaiz besar, berbentuk bulat, kulit berwarna kuning, isinya tebal, manis, pejal , berair dan isinya enak. Saya puas makan rambutan jenis ini sejak kecil lagi kerana ada 4 pokok dikawasan rumah di Gersik, Muar, Johor dan berbuah dengan lebat setiap tahun. Kini pokok tersebut telah tiada kerana ditebang untuk pembesaran rumah dan pokok pun sudah terlalu tua (lebih 35 tahun). Artikel ini saya menerangkan pencirian DUS secara saintifik rambutan varieti GADING MUAR untuk bacaan teknikal berdasarkan maklumat dari Jabatan Pertanian.
Laporan statistik Jabatan Pertanian menunjukkan terdapat seluas 26,946 hektar keluasan tanaman rambutan di Malaysia pada tahun 2010 dengan pengeluaran hasil sebanyak 86,085 metrik tan. Sebahagian daripada jumlah keluasan CHE tersebut adalah dari variety Gading Muar dan kalau dibahagi dengan 5 varieti popular dan 10 varieti kurang popular sama rata sedia ada maka secara teorinya keluasan R156 mungkin sekitar 1,800 - 2,200 hektar CHE?. Kajian saya mendapati terdapat 62 varieti atau klon rambutan yang didaftarkan semenjak tahun 1950’an lagi dimana hanya beberapa klon sahaja (6-8 varieti) yang popular. Antara variety yang popular adalah seperti Gading Muar (R156), Anak Sekolah (R191 – juga ianya dipanggil Rong Rien), Deli Baling (R193), Gula Batu (R3) dan Deli Cheng (R170). Pada masa ini hanya varieti Anak Sekolah dan Deli Baling yang mempunyai laluan pasaran ekspot untuk keluar negara.
Buah Rambutan Gading Muar (R156) berwarna kuning yang berbentuk bulat dengan panjang buah Sederhana (Purata panjang 4.32 cm) dan lebar buah berukuran purata 3.88 cm. Kadar perbandingan bagi panjang buah dengan lebar buah adalah pada nisbah 1.1:1 (1.1 panjang kepada 1 lebar). Warna buah ini adalah berbeza dengan variety rambutan lain yang kebanyakannya berwarna merah apabila masak. Warna buah yang masih muda adalah hijau dan apabila masak akan bertukar kepada kuning dengan kod warna Y158.Buah yang terlalu masak akan menjadi kuning kemerahan. Buah ini juga mempunyai kulit buah yang nipis iaitu sekitar 0.2 cm. Bulu rambutan Gading Muar (Spintern size) adalah sederhana iaitu sepanjang 1.1 cm dengan taburan antara bulu rambut (spintern distance) yang jarang. Bulunya adalah dalam kategori yang ‘Lembut’ tidak keras seperti varieti Anak Sekolah dan Deli Baling. Warna bahagian pangkal bulu adalah kuning dengan kod warna Y11A tetapi dibahagian hujung biasanya kehijauan dan agak membengkok sedikit.
Warna isi buah rambutan varieti Gading Muar adalah Krim (Cream colour) yang pejal dan berair. Permukaan luar isi adalah pejal dengan permukaan yang licin. Kemanisan adalah sederhana dengan kadar 21%. Kajian makmal juga mendapati yang keasidan isi adalah rendah dengan isi yang sangat berair (juicy). Rambutan ini juga jenis yang sangat LEKANG dimana mudah dipisahkan isi dengan biji tetapi kulit testanya sangat kuat melekat pada isi ketika digigit dengan mulut. Bijinya berbentuk Ovat (Ovate) dengan saiz yang sederhana dan mudah bercambah apabila cukup matang untuk penanaman.
Rambutan Gading Muar walau pun tidak dikategorikan untuk pasaran ekspot tetapi permintaan domestik masih ujud. Penanaman secara komersial secara monokrop dengan satu jenis rambutan Gading Muar sudah jarang di buat oleh petani. Pokok dewasa yang ada sekarang kebanyakannya hanya disekeliling rumah dikawasan kampong yang kebanyakannya adalah hasil bantuan Program AID oleh Jabatan Pertanian sekitar tahun 1980’an dan tahun 1990’an. Permintaan anakbenih rambutan Gading Muar juga sudah berkurangan dimana. Jabatan Pertanian dan nurseri swasta juga sudah kurang menghasilan anakbenih rambutan varieti ini. Harga buah ini ketika musim puncak sekitar RM 0.80 – RM 1.50 sekilogram. Lazimnya rambutan ini akan masak paling awal berbanding rambutan jenis merah dikawasan kampong saya di Muar. Saya pun dah kurang makan rambutan sekarang. Mana tahu satu hari nanti trend permintaan buah rambutan Gading Muar akan meningkat semula?
RAMBUTAN KUNING...GADING MUAR NAMANYA....
NOMBOR DIDAFTAR R156... CANTIK NOMBORNYA...
PEMILIK ASAL...DAERAH MUAR ASALNYA....
MEMANG MANIS....PEJAL DAN TEBAL ISINYA...
Related Articles:
1. Klon Buah Popular di Malaysia (Klik disini)
2. Kenapa Rambutan? (Klik disini)
3. Klon-klon Rambutan di Malaysia (Klik disini)
4. RAMBUTAN (Klik disini)
5. Cashflow Buah-buahan (Klik disini)
6. Alat Cantasan (Klik disini)
By,
M Anem
Ramada Rennaisance Hotel
Jalan Munshi, Melaka,
Malaysia
(5.40 subuh, 21 Zulkaedah 1432H)
Rambutan R156 lebat buahnya. |
Warna kulit R156 yang masak. |
Keratan rentas R156 |
Isinya yang tebak dan manis |
RAMBUTAN KUNING...GADING MUAR NAMANYA....
NOMBOR DIDAFTAR R156... CANTIK NOMBORNYA...
PEMILIK ASAL...DAERAH MUAR ASALNYA....
MEMANG MANIS....PEJAL DAN TEBAL ISINYA...
Related Articles:
1. Klon Buah Popular di Malaysia (Klik disini)
2. Kenapa Rambutan? (Klik disini)
3. Klon-klon Rambutan di Malaysia (Klik disini)
4. RAMBUTAN (Klik disini)
5. Cashflow Buah-buahan (Klik disini)
6. Alat Cantasan (Klik disini)
By,
M Anem
Ramada Rennaisance Hotel
Jalan Munshi, Melaka,
Malaysia
(5.40 subuh, 21 Zulkaedah 1432H)
No comments:
Post a Comment