Monday, October 24, 2011

KEBAIKAN ULAM & SAYUR SEGAR

ULAM DAN SAYURAN mempunyai khasiat yang baik untuk tubuh badan manusia jika dijadikan amalan permakanan. Terdapat banyak jenis Ulam-ulaman dan Sayuran segar yang sesuai dimakan mentah di negara kita. Malaysia adalah negara yang kaya dengan pelbagai jenis sayuran dan ulaman sama ada ditanam atau tumbuh liar secara semulajadi. Banyak jenis sayuran dan beberapa jenis ulaman dari merata dunia telah dibawa masuk ke negara kita namun sayuran tempatan masih lagi terletak di tempat teratas. Sayuran tempatan mengandungi khasiat yang tinggi dan penting untuk keperluan aktiviti tubuh jika ditanam tapa menggunakan racun kimia merbahaya atau tanaman organik. Sayuran tempatan terutamanya dalam kategori ulam-ulaman sebenarnya bukan sahaja sebagai pembuka selera malah ada yang menjadi penawar berkesan serta sumber makanan yang amat berkhasiat. Antara contoh sayuran dan ulaman tempatan yang terkenal ialah timun, peria, bendi, seleri, asparagus, kacang botor, pegaga, tenggek burung, selom, ulam raja, pucuk gajus, cekur, kantan, jering, petai, salad dan sebagainya. Artikel petang ini saya menulis khasiat beberapa jenis sayuran dan ulaman untuk bacaan umum.


Timun (Cucumis sativus) dari keluarga cucurbitaceae merupakan sayur tempatan tetapi bukan dikategorikan sebagai sayur asli. Tempat asalnya dipercayai di kawasan banjaran Himalaya iaitu dikawasan India yang telah dibiakbaka dan ditanam diseluroh dunia yang mempunyai cuaca dan tanah yang sesuai. Di Malaysia sayuran buah jenis Timun atau dikenali juga sebagai mentimun sedap di makan sebagai ulam mentah atau di proses minima seperti dibuat acar, dikukus dan sebagainya. Menurut kajian tempatan yang telah dibuat oleh beberapa saintis makanan seperti di universiti dan IMR mendapati sayur timun hanya mengandungi sedikit sahaja protein iaitu 0.65%, lemak 0.1%, dan karbohidrat 2.2%. Selain itu, timun juga turut mengandungi kalsium, zat besi, magnesium, fosforus, vitamin A, B1, B2, C dan niasin. Bahagian timun yang mempunyai rasa pahit adalah disebabkan oleh kandungan sebatian kimia jenis terpen yang dikenali sebagai cucurbitasin. Manakala biji timun pula mengandungi racun alkoloid jenis hipoxantin yang berkesan untuk merawat kanak-kanak yang kecacingan. Timun yang masak pula jika dimakan mentah dikatakan amat berkesan untuk merawat penyakit sampu pucat iaitu sejenis penyakit pening-pening yang berterusan sehingga boleh menurunkan berat badan. Dalam rawatan perubatan tradisional, timun turut dipercayai berkesan untuk mengubati penyakit disenteri iaitu keluar darah semasa membuang air besar. 


Peria (Momordica charantia) merupakan sejenis sayur yang mempunyai bentuk seakan timun. Ia merupakan sayur yang paling mendapat perhatian pakar perubatan moden dewasa ini. Berasal dari selatan China, peria yang dikenali sebagai "ku gua" telah lama digunakan sebagai salah satu herba dalam perubatan tradisional China. Air rebusan peria digunakan oleh pakar perubatan China untuk merawat penyakit asma dan haid yang terlewat. Selain itu, air rebusan ini juga digunakan untuk menyejukkan panas radang. 
Kini penggunaan peria semakin meluas. Di Asia Tenggara, Australia, dan Amerika Syarikat, peria menjadi bahan penting bagi merawat penyakit leukaemia, HIV, dan AIDS. Biarpun setakat ini belum ada kajian saintifik dijalankan bagi menguji keberkesanan peria dalam menangani penyakit-penyakit tersebut. Peria didapati boleh meningkatkan semula kiraan sel CD4 (sel imun) dalam tubuh manusia. Ujian darah untuk menguji jumlah kiraan sel imun adalah perkara paling asas untuk mengetahui perkembangan dan betapa seriusnya tahap HIV dan AIDS. Selain daripada meningkatkan sel imun tubuh, peria juga berguna untuk merawat atau mengurangkan penyakit-penyakit sampingan yang mempunyai kaitan dengan jangkitan HIV seperti arthritis dan "oppotunistic infections", misalnya herpes kemaluan, tuberkolisis dan beberapa jenis penyakit kulit yang menyerang lantaran lemahnya sistem imunisasi tubuh.


Bendi (Hibiscus esculentus) juga merupakan sayur tempatan yang banyak ditanam di negara-negara yang beriklim panas lembap. Berdasarkan kajian yang dilakukan bendi mengandungi 2% protein, 7% karbohidrat dan 1% serat. Selain itu ia juga kaya dengan zat galian, vitamin dan kalsium. Bendi juga merupakan sayur yang baik untuk perkembangan otak. Dalam bidang perubatan bendi digunakan sebagai perangsang buangan air kecil, merawat gonorea, sifilis serta bengkak saluran kerongkong dan hidung.


Saderi (Apium graviolens) dari keluarga Umbelliferae adalah sejenis sayur berbatang lembut yang kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, karotin, vitaminA, B-komplek dan C dan magnesium. Ia dikenali sebagai Apium graveolens yang berasal daripada keluarga dulce umbelliferae. Seleri merupakan penawar dalam amalan perubatan tradisional untuk menurunkan tekanan darah tinggi. Terdapat beberapa cara untuk menggunakan seleri sebagai ubat tekanan darah tinggi. Ia boleh dimasak sup atau sayur untuk dihidangkan sebagai hidangan sampingan. 
Seleri juga bertindak melancarkan pengaliran dan pusingan haid serta mengatasi masalah penyakit keputihan. Ia juga dapat merawat penyakit kulit seperti jerawat, ruam, dan ekzema atau geligata. Kandungan garam galian dalam seleri bertindak menghapuskan pengumpulan asid yang berlebihan dalam darah, sekali gus memulihkan sifat alkalinnya. Proses itu bertindak membersihkan kulit dan amat berkesan untuk mengatasi masalah alahan, termasuk alahan terhadap kucing. 


Kacang Botor (Phosopocarpus tetragonolobus) merupakan sayur tempatan yang bukan asli. tempat asal kacang botor adalah kurang jelas ada yang menyatakan dari Afrika Timur, Indonesia, Papua New Guinea dan Indo-China. Menurut kajian tempatan, kacang botor yang masih muda mengandungi satu hingga tiga peratus protein di dalamnya. Jumlah kandungan protein yang tinggi membuatkan kacang botor merupakan salah satu sayuran sumber protein yang setanding dengan jenis kekacang yang lain. Selain itu kekacang ini juga kaya dengan zat kalsium, besi dan vitamin A. Daunnya juga elok untuk nutrisi, iaitu proses pemasukan dan pengolahan makanan oleh tubuh kerana kandungan protein sebanyak lima hingga tujuh peratus di dalamnya selain vitamin A, vitamin C dan garam galian. Daunnya boleh juga dimakan mentah dan sedap dibuat sayur. Manakala ubinya juga boleh dimakan sebagai ulam mentah. Walaupun selepas dicelur selama beberapa minit, ulam ini masih mengandungi sebanyak 8 hingga 10 peratus protein, selain kaya dengan karbohidrat, kalsium dan fosforos. Daunnya jika dicampur dengan ramuan lain boleh dibuat losyen untuk meredakan penyakit cacar. Akarnya pula berkesan untuk menghilangkan penyakit vertigo ataupun gayat apabila berada di tempat tinggi. 


Asparagus (Asparagus officinalis) adalah tumbuhan berasal daripada keluarga Liliaceae yang sangat kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C dan niasin. Ia juga mengandungi elemen-elemen yang baik untuk kelenjar tiriod, pineal, dan adrenal, jantung, hati, paru-paru, limpa, pankreas dan kulit. Maurice Messegue, seorang pengamal ubat-ubatan herba yang terkenal di Perancis menggunakan jus asparagus sebagai rawatan yang berkesan untuk merawat gangguan renal. Asparagus mengandungi sejenis bahan disebut asparajin yang membolehkan sistem badan membuang sisa-sisa toksik. Air kencing akan mengeluarkan bau yang luar biasa yang menunjukkan sistem tubuh badan sedang dibersihkan dan buah pinggang berfungsi secara normal. Jerawat merupakan satu masalah dermatologi berpunca daripada pemakanan tidak seimbang dan pengambilan terlalu banyak makanan berlemak dan bergula. Amalan memakan daging dan minum kopi secara berlebihan mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan. Tabiat pemakanan seumpama ini menyebabkan asid berkumpul dengan banyaknya dalam darah. Kandungan alkali yang tinggi dalam jus asparagus boleh mengatasi keadaan itu jika makanan dan minuman itu dikurangkan sekaligus menghilangkan masalah jerawat serta membersihkan kulit.


Cili  (Capsicum annum) atau cabai atau lada merupakan jenis sayuran yang amat popular di negara ini. Cili termasuk dalam keluarga Solaneceae seperti tomato dan kentang. Di negara ini cili merupakan salah satu bahan makanan yang banyak digunakan oleh masyarakat pelbagai kaum untuk kegunaan harian dan perusahaan. Dalam nilaian ekonomi, cili adalah buah terpenting dan mendapat permintaan tinggi hingga nilai kegunaannya mencecah RM90 juta setahun. Cili kaya dengan vitamin A, B, dan C kompleks, serta komposisi vitamin lain seperti protein, karbohidrat, serta karotin. Kepelbagaian cili memberi kepedasan kepada si pemakan. Ia dinamakan capsaicin, lagi tinggi kandungan capsaicin, cili semakin pedas. Dalam rekod CAB Abstracts 1995, capsaitin yang terkandung di dalam cili dilaporkan sebagai agen pelindung melawan penyakit ulser peptic serta agen penghalang kepada kimia-kimia carcinogens yang menyebabkan penyakit barah. (Rajah 6)


Jering (Pithecellobium jiringa ) sememangnya tumbuhan asli di negara ini. Daripada kajian yang dijalankan didapati jering mengandungi sebanyak 3.5% protein, 0.1% lemak, 1.7% karbohidrat, kalsium, fosforus, besi, dan vitamin A, B, dan C. Biji jering enak dimakan sebagai ulam dengan pelbagai sos pencicah tempatan mengandungi sejenis sebatian alkoloid yang boleh memberi rangsangan membuang air besar. Tetapi biji jering juga mengandungi bahan toksid yang dikenali sebagai asid jengkolik. Sekiranya kita memakan terlalu banyak kita akan mengalami ‘sembelit jering’. Ini berlaku kerana asid jengkolik yang banyak terkumpul dalam badan akan membentuk hablur dalam buah pinggang dan akhirnya akan menyumbat pundi kencing. Namun bagi pesakit kencing manis, jering boleh menjadi penawar yang berkesan. Ini kerana kandungan sebatian alkoloid di dalamnya mampu meneutralkan kandungan gula dalam badan.


Petai (Parkia speciosa)  juga merupakan tumbuhan asli negara ini yang masih lagi tumbuh liar di hutan. Berdasarkan kajian buah petai yang berbintil-bintil pada papannya dikatakan mengandungi kadar protein dan lemak yang tinggi berbanding tumbuhan hutan yang lain. Ia mengandungi 11% karbohidrat dan banyak mengandungi kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A, B1, B2, C dan niasin. Petai atau nama saintifik parkia spp tergolong dalam famili leguminasae. Pokok petai yang terdapat di negara kita terdiri daripada 4 spesies antaranya Petai Kerayung (Parkia javanica), Petai Maranti (Parkia singularis), Petai Biasa (Parkia speciosa) atau dipanggil petai papan dan Petai Nering (Parkia sumatrana). Sebenarnya kandungan nutrisi biji petai berbeza mengikut umur dan kesegaran bijinya. Ini petai yang kecut tidak elok serta kandungan khasiatnya kurang. Dalam perubatan tradisional masyarakat melayu biji petai dipercayai berkesan untuk merawat penyakit hati, buah pinggang, kencing manis dan untuk mengeluarkan cacing daripada kanak-kanak yang kecacingan. 


Terung pipit (Solanum torvum) merupakan tumbuhan liar di Malaysia dan di negara-negara tropika yang lain tetapi negara asalnya ialah Antilles. Biasanya ia dimakan mentah ataupun dicelur untuk dijadikan ulam. Terung pipit mengandungi 2% protein, 0.1% lemak, 7.9% karbohidrat serta mengandungi banyak fosforus, sedikit zat besi, vitamin A, B1, dan C. Menariknya, ia juga mengandungi alkoloid jenis steroid yang dikenali sebagai solasodin dengan kandungan sebanyak 0.84%. Steroid amat penting dalam bidang perubatan, terutamanya untuk menghasilkan pil perancang keluarga. Selain itu akar terong pipit juga boleh digunakan untuk mengubati retak kulit pada kaki, mencuci darah dengan meminum air rebusannya, melegakan kesakitan, penawar racun ular dan serangga serta menjadi ubat yang berkesan untuk meredakan sakit perut. (Rajah 8)


Pegaga (Hydrocotyle asiatica ) merupakan sejenis ulam yang terkenal juga di negara kita. biasanya seluruh bahagian pegaga iaitu daun, tangkai daun, batang, bunga, buah, dan akarnya mempunyai banyak kegunaan dan khasiat yang tinggi. Di Indonesia, bunga dan buah pegaga tidak dimakan kerana ia dikatakan menjadi punca penyakit reumatisme sekiranya terlalu banyak dimakan. Namun ada juga orang yang yakin bahawa mereka akan beroleh umur yang panjang dan awet muda apabila mengamalkan pengambilan pegaga dalam gizi harian mereka. Tetapi berdasarkan kajian menunjukkan ia boleh dimakan selalu tetapi dalam kuantiti yang sedikit sahaja bagi mendapatkan kesan positif. Ini kerana pengambilan yang berlebihan akan mengakibatkan kesan narkotik dan keracunan kumulatif yang meransang tumor untuk jangkamasa panjang. Pegaga juga mengandungi banyak sebatian kimia dan bioaktiviti yang terbukti mengandungi ciri-ciri antibakteria, antipasma, antiinflamasi, hipotensif dan insektisid. Dalam bidang perubatan tradisi, ia digunakan sebagai agen antialergi, antikanser, antidisenteri, peransang pembuangan urin, hipotensif, stimulan, tonik, menyejukkan badan, mengeluarkan batu karang, penawar kencing berdarah, kusta, gonorea,luka, kudis, dan sakit kerongkong. 


Beberapa Jenis Ulam Tradisional Malaysia


JENIS YANG POPULAR
Nama biasa                             Nama saintifik


Buluh (rebung)                          Bambusa sp.
Cekur manis                             Sauropus androgynus
Jering                                        Pithecellobium jiringa
Kacang kelisa                          Psophocarpus tetragonolobus
Kaduk                                       Piper sarmentosum
Kerdas                                      Pithecellobium bubalinum
Kesum                                      Polygonum minus
Nangka (buah muda)              Artocarpus integra
Paku (pucuk)                           Athyrium esculentum
Pegaga                                    Hydrocotyle asiatica
Petai                                        Parkia speciosa
Pisang (jantung)                      Musa sapientum
Selom                                      Oenanthe javanica
Terung pipit                             Solanum torvum
Ubi kayu (pucuk)                     Manihot esculenta
Ulam raja                                 Cosmos caudatus


JENIS YANG KURANG TERKENAL
Nama biasa                             Nama saintifik
Beluntas                                  Pluchea indica
Betik (pucuk)                          Carica papaya
Cekur                                      Kaempferia galanga
Gajus (pucuk)                         Annacardium occidentale
Geli-geli                                  Lasia spinosa
Kelor (daun)                           Moringa oleifera
Kemahang                              Colocasia esculenta
Keman                                    Neptunia prostrata
Keremak                                Alternanthera triandra
Mengkudu (pucuk)                 Morinda citrifolia
Pina-pina                                Pterococcus corniculatus
Putat (pucuk)                          Barringtonia racemosa
Paku rawan                            Limnocharis flava
Salang                                    Claoxylon longifolium
Setang                                    Melia excelsa
Tapak itik                               Marsilis minuta


Saya dapati berdasarkan penjelasan dan huraian di atas menunjukkan sayuran dan ulaman tempatan mempunyai khasiat yang tinggi untuk keperluan manusia. Sayuran ini juga mudah di tanam dan ada sesetengahnya tumbuh secara semulajadi disekeliling rumah kita. Kesihatan tubuh badan amat penting untuk membolehkan kita bergerak aktif menjalankan aktiviti harian. Walaupun terdapat banyak sayuran yang diimport dengan pelbagai bentuk, rasa dan rupa tetapi sayur ulaman tempatan masih mendapat tempat utama di pasar tani, pasar malam, dan pasar minggu. Di hotel-hotel kelas tinggi juga ulaman dihidangkan sebagai penambah selera pelanggan. Sayuran ulaman bukan sahaja sebagai pembuka selera tetapi menjadi penawar kepada segala jenis penyakit yang merbahaya. Makan ulam demi kesihatan anda.


MAKAN ULAM....MEMANG AWET MUDA...
ULAM DITANAM...KELILING RUMAH ANDA...
TANAMAN ORGANIK...PEROSAK TIADA...
MENJADI AMALAN...SEMUA KELUARGA...


By
M Anem
Jalan Istana
Melaka
Malaysia
(26 Zulkaedah 1432H)

No comments: