Sunday, October 9, 2011

DOKONG (PART 3)

Dokong (Lansium domesticum Jack) merupakan sejenis buah-buahan dari keluarga MELIACEAE yang terus popular dinegara kita. Keluasan tanaman ini stabil dengan terdapat seluas 16,130 hektar CHE direkodkan di Malaysia dengan anggaran pengeluaran sebanyak 32,420 metrik tan. Kawasan utama tanaman dokong di Malaysia di Daerah Gua Musang Kelantan (2,040 ha) diikuti dengan Daerah Kuala Krai Kelantan (1,950 ha) dan Daerah Jeli Kelantan (1,748 ha). Belum ada kepastian mengenai klon tanaman dokong tetapi yang popular ditanam ialahKlon Dokong Kering. Bagaimana pun agak sukar untuk membezakan anakbenih dokong kering berbanding dengan Klon Dokong Biji atau Klon Dokong Basah. Buah dokong dipasarkan untuk kegunaan segar dengan harga lingkungan RM 4.00 - RM 8.00 sekilogram. Artikel Dokong (Part 3) ini mengisahkan teknologi penuaian, penggredan buah dokong dan juga potensi tanaman buah dokong dalam "Anim Agro Technology" untuk bacaan dan rujukkan tuan semua.


Penggredan buah dokong dilakukan sebaik sahaja penuaian selesai dijalankan. Pada amnya, buah dokong dibahagikan kepada tiga gred iaituGred A, Gred B dan Gred C. Gred A adalah dimana apabila saiz buah besar (garis pusat lebih 3 cm), buah setangkai lebat, kulit bersih tanpa kesan serangan kulat atau serangga. dijual pada harga ladang RM 6.00 - RM8.00/kg. Saya dapati Buah Gred B bersaiz sederhana dengan tangkai pendek dan buah agak jarang. Saiz dan rupabentuk buah bercampur dengan buah relai serta mempunyai kulit berbintik. Buah dokong gred B dijual pada harga RM 4.00 - RM 6.00/kg. Buah gred C merupakan buah relai dari tangkai dengan saiz tak seragam. dan dijual pada harga ladang RM 3.00 - RM 4.00. Harga tersebut adalah jika pengeluaran biasa dan harga pernah turun serendah RM 0.40/kg pada tahun 2010 apabila pengeluaran buah dokong terlalu banyak dan jatuh pada bulan puasa.


Pemantauan saya kebeberapa penanaman dokong mendapati dengan pengurusan yang baik dan pembajaan yang mencukupi maka pokok dokong akan mulai berbuah pada tahun ke 7 selepas ditanam di ladang bagi pokok yang ditanam dari biji dan 5-6 tahun bagi pokok yang ditanam secara anak tampang (tut atau cantuman biji). Hasil pertama adalah rendah dan hanya beberapa kilogram buah dihasilkan pada satu pokok. Hasil akan bertambah selepas itu. Pada tahun ketiga berbuah (umur 10 tahun), pengeluaran mulai meningkat ke tahap 50-100 kg/pokok. Dokong menunjukkan tabiat pengeluaran 'biennialitty' dimana hasil tinggi pada sesuatu tahun akan diikuti dengan hasil yang rendah pada tahun berikutnya. Fenomena ini adalah lebih ketara jika penyelenggaraan dan pembajaan tidak sempurna. Pokok dokong akan berbunga selepas mengalami satu musim kemarau yang agak panjang. Kemarau yang berterusan selama 3-4 minggu diperlukan oleh pokok dokong untuk merangsang pengeluaran bunga.


Apabila pokok dokong berbunga maka beberapa tangkai akan keluar dari satu tampok bunga. Jika pokok dokong mengeluarkan banyak tangkai bunga, penjarangan tangkai hendaklah dilakukan. Biasanya 1-3 bunga ditinggalkan di setiap tampok supaya tangkai itu akan menjadi panjang, peratus pelekatan buah ditangkai tinggi dan menghasilkan buah yang besar dan bermutu. Buah dokong akan masak dalam tempoh 6 bulan. Dalam tempoh itu, buah-buah yang terlalu kecil, yang pecah atau yang diserang oleh kulat atau serangga perlu dibuang supaya ia tidak menjejaskan kualiti buah lain. Peringkat buah dokong masak boleh dilihat mengikut warna kulit, ciri serta tanda-tanda dimana warna kulit bertukar dari hijau ke kuning atau kuning kelabu., isinya menjadi jernih dan rasanya manis (isi buah mentah ialah keputihan). buah juga akan menjadi lembut apabila dipicit, apabila buah masak mudah direlai dari tangkai, tiada getah pada kulit buah yang masak dan buah yang betul-betul masak akan mengambil masa 180-200 hari selepas bunga kembang.


Buah dokong yang dipetik di peringkat yang betul-betul masak akan menjadi dokong yang manis dan bermutu dan seterusnya memberi pulangan yang tinggi. Apabila 75% buah di setiap tangkai masak, tangkai itu boleh dituai. Tangkai buah hendaklah dipotong dengan teliti hingga rapat dengan batang. Jangan rentap atau pulas tangkai buah kerana ini akan merosakkan tampok bunga. Untuk memungut hasil, pemungut hendaklah duduk atau berdiri di atas tangga khas. Ini akan mengurangkan kerosakan tampok bunga di dahan-dahan besar. Tangkai-tangkai buah yang dipotong itu dimasukkan ke dalam baldi yang digantung di sebelah tangga. Apabila baldi diisi penuh dengan tangkai buah dokong, ia diturunkan dengan menggunakan tali. Setiap tangkai buah yang dipungut diisi dalam bakul buluh atau plastik dan diselenggara dengan cermat. Buah diperiksa bagi mendapatkan kualiti yang serata. Buah-buah yang muda dan pecah atau rosak dibuang dan diasingkan.


Dokong masih mendapat perhatian oleh petani tradisional dan komersial di Malaysia. Masaalah 'Binneal' merupakan antara isu yang perlu di bincangkan. Pemerhatian saya mendapati dokong akan menghasilkan buah setisp 2-3 tahun sekali dengan banyak dan sangat bergantung kepada ilkim panas dan faktur hujan yang akan menghasilkan proses pembungaan. Zon di Selatan Semenanjung Malaysia seperti di Johor , Melaka dan Pahang Selatan lebih terjejas kerana taburan hujan yang banyak dan tiada musim kemarau seperti di Kelantan, Kedah dan Perlis yang diperlukan oleh tanaman dokong. Para saintis pertanian perlu melihat potensi tanaman dokong pada masa akan datang.


POKOK DOKONG...TINGGI POKOKNYA...
DOKONG KERING ... BETUL KLONNYA....
DOKONG BIJI....PASTI BANYAK BIJINYA....
MASAALAH BINIAL...APA PENYELESAIANNYA....


Related articles:
1. Rambutan (Klik disini)
2. Rambai (Klik disini)
3..Durian belanda (Klik disini)
4. Klon Buah popular di Malaysia (Klik disini)

By,
M Anem
Pct 11, Putrajaya,
Malaysia (Cuti Hari Isnin)
11 Zulkaedah 1432H

No comments: