Wednesday, September 28, 2011

POKOK TURI

POKOK TURI (Sesbania grandiflora syn Aeschynomene grandiflora) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga FABACEAE atau Keluarga Kekacang yang tumbuh di Malaysia. Tumbuhan ini hidup dengan subur dikawasan perumahan dan kebun dan digunakan paling popular iaitu bahagian pucuknya untuk dimasak 'Sayur Turi Masak Lemak' yang dicampur dengan labu manis. Pokok turi terdapat diseluruh kawasan tropika yang lembab dari Asia Tenggara, Afrika sehingga Amerika Tengah dan Australia Utara. Nama-nama lain bagi tumbuhan ini adalah seperti Kembang turi, turi, gallito, walking stick, hummingbird tree, scarlet wisteria tree, agati, Corkwood tree, Agati à grandes fleurs, Shiro gochou, Daun turi, Kacang turi, Agasto, Sesbãnia, Scarlet wisteria tree, Swamp pea, Vegetable hummingbird dan West Indian pea. Penulis menganggarkan terdapat seluas antara 200-220 hektar CHE tanaman turi di Malaysia pada tahun 2011 yang ditanam sebagai tanaman selingan atau hiasan di kawasan rumah atau di tepi jalan. Artikel kali ini saya bentangkan teknologi tanaman turi untuk tatapan anda semua berdasarkan pengalaman, pemerhatian dan bacaan teknikal.


Pokok Turi adalah tumbuhan yang dipercayai natif dari Indonesia, India dan Asia Tenggara lain. Tumbuhan renek yang bercabang ini mampu mencapai ketinggian sehingga 8-15 meter dengan jangkahayat umur selama 20 tahun. Daunnya berwarna hijau dengan susunan bersilang merupakan daun kompoun yang berbentuk 'pinnate'. Saiz daun adalah 2 cm lebar dengan panjang kira-kira 3-4 cm dimana daun muda agak kekuningan. Batangnya berkayu dengan ukurlilit batang 30-50 cm mempunyai kulit dan bercabang. Akar pokok turi ada akar tunjang dimana terdapat bintil-bintil akar (Root nodules) seperti jenis pokok keluarga kekacang yang lain. Bunganya sama ada berwarna putih atau ungu atau kemerahan berukuran 5-10 cm panjang berbentuk kacang pea. Bunga yang belum terbuka berukuran 3 cm. Buah turi adalah pod kekacang berwarna hijau dengan 30 - 50 cm panjang dan 8 mm lebar yang leper dengan membengkak pada kawasan berbiji. Biji pokok turi adalah berbentuk kacang pea yang hijau ketika muda dan coklat merah apabila cukup matang. Saiz bijibenih 3.5 mm garispusat dengan purata berat 1 gram setiap biji. 


Pokok Turi sesuai tumbuh dikawasan yang panas dan lembap. Pokok turi tahan dikawasan yang mudah banjir dimana akarnya akan membentuk sistem ketahanannya tersendiri jika tenggelam dalam air. Ketahanan pokok turi dalam cuaca kemarau yang panjang juga menyebabkan pokok ini mampu bertahan sehingga 9 bulan pada cuaca kering. Bagaimana pun satu kelemahan pokok turi adalah dahannya yang mudah patah apabila ditiup angin kencang. Pokok turi didepan rumah penulis di Muar, Johor telah hidup lebih 15 tahun diatas tanah gambut dimana ketinggiannya cuma 4 meter sahaja. Pokok ini selalu dipetik daun pucuknya dan dibuat cantasan untuk dimasak oleh keluarga atau orang kampong yang datang minta. Saya fikir pokok turi ini adalah jenis organik kerana tidak pernah dibubuh racun dan hanya gunakan bahan baja organik sahaja.


Penanaman pokok turi sangat mudah dengan menggunakan biji dan ada juga yang menggunakan keratan batang. Pokok boleh menghasilkan buah 9 bulan selepas ditanam dimana bunganya akan didebungakan oleh sejenis burung yang dipanggil 'Humming Bird' dibanyak negara tetapi dinegara kita oleh serangga lain atau burung kelicap. Benih perlu direndam 24 jam dan disemai dalam polibeg atau pasu mengandungi media tanah campuran atau 'cocopeat'. Setelah benih berumur sebulan sesuai untuk ditanam dikebun atau kawasan rumah yang sesuai. Jarak penanaman disyorkan untuk penanaman monokrop komersial (Jika berminat) adalah 1.2 m x 1.2 m untuk memberikan kepadatan pokok yang sesuai. Berikan air dan baja asas pada peringkat awal penanaman setiap bulan sehingga matang ketika berumur 9 bulan. Kajian juga menunjukkan pertumbuhan pada tahun pertama dan kedua adalah cepat dimana mampu mencapai 5 meter selepas 9 bulan ditanam. Pertumbuhan pada tahun ketiga dan seterusnya agak perlahan. Pokok turi mempunyai masaalah serangan serangga perosak seperti ulat makan daun, ulat pemotong daun dan ulat pengorek batang. Terdapat juga ulat pengorek buah kacang dan serangan nematod (Meloidgyne spp) pada bahagian akar.


Laporan penanman komersial pokok turi di India dan Indonesia menunjukkan yang pertumbuhan pokok sangat cepat dimana jika sering dicantas jangkahayat umur pokok akan jadi pendek. Kadar pertumbuhan pokok turi bergantung kepada jenis tanah, sumber air dan amalan pengurusan kultura yang dijalankan. Pertumbuhan diatas tanah berpasir cuma setinggi purata 1.8 meter selepas 9 bulan berbanding dengan setinggi 3.2 meter diatas tanah lom. Kajian menunjukkan hasil tuaian biomas pokok turi sebanyak 65.1 kg/pokok dari kawasan tebing sungai dikawasan pastura terbuka sebanyak 25.4 kg/pokok.  Bahagian daun, bunga, kacang dan buah pokok turi boleh dimakan. Bahagian BUNGA merupakan paling berguna untuk dimakan sebagai salad atau sayuran. Bunga berwarna putih lebih bernilai dari bunga berwarna merah di Filipina dan Thailand. Bunga yang masih KUDUP (Belum terbuka) dimakan mentah atau dikukus atau dimasak sebelum dimakan.


Ramai orang Malaysia tidak tahu yang daun pokok turi sangat berkhasiat untuk dijadikan makan ternakan. Daun turi boleh mula dituai 4 bulan selepas ditanam. Saya dapati daun ini kaya dengan protin (36% daripada berat kering) dan kandungan Vitamin A (9,600 IU). Pucuk daun turi sangat sedap untuk dimasak lemak dengan labu manis dan dimakan dengan nasi panas (Foto sebelah).  Daun turi yang dituai dari keliling rumah adalah percuma sahaja dan masih segar tetapi jika hendak beli di pasar basah atau pasar malam ianya dijual dengan harga RM 1.00 satu ikat (Purata 5-6 tangkai). Daun ini perlu diceraikan dan dibasuh bersih sebelum dimasak dengan labu manis. Bahagian kayu, kulit dan batang pokok turi boleh digunakan sebagai kayu api, bahan bakar dan lain-lain kegunaan. SELAMAT NENANAM POKOK TURI !...


POKOK TINGGI ....POKOK TURI.....
DIKAWASAN RUMAH...DITANAM BERSERI....
PUCUK DIPETIK...MASAK LEMAK LAGI...
SEDAP DIMAKAN....KENYANG YANG PASTI....


By,
M Anem
Persint 11, Putrajaya,
Malaysia
(30 Shawal 1432H)  

No comments: