Friday, April 1, 2011

LABU BOTOL

LABU BOTOL (Legenaria siceraria ) merupakan sejenis tumbuhan kategori sayuran buah dari Keluarga CUCURBITACEAE yang sesuai di tanam di Malaysia. Labu ini juga di kenali dengan synonim sebelum ini sebagai Lagenaria vulgaris (1825) dan Lagenaria leucantha (1896). Nama lain bagi tumbuhan ini ialah seperti Bottle Gourd ; Calabash Gourd ; White-flowered Gourd (English), Labu Air ; Labu Putih ; Kukuk (Indonesia), Labu Botol (Malaysia), upo ; tabungaw ; Kalubay (Filipina), Khlook (Kemboja), namz taux (Laos) dan namtao ; manamtao (Thailand). Tumbuhan ini dipercayai berasal dari Afrika Tengah dan disebarkan ke Asia Tenggara 1,000 tahun dulu. Artikel ini saya akan memberikan maklumat mengenai teknologi tanaman labu botol daripada pengalaman penulis yang pernah terlibat dengan tanaman ini di Projek Kelompok Sri Pantai Mersing, PB Kg Paya Serakek, Segamat, PB Kg Paya Mas , Tangkak dan hasil dari pembacaan dari beberapa buah buku teknikal.

Tumbuhan Labu Botol mempunyai batang yang tumbuh menjalar atau memanjat dengan batang yang kuat dan jejari (Tendrils) yang kukuh dengann panjang tendrils lingkungan 20 cm. Daunnya berbentuk mudah berwarna hijau dengan 30 cm garispusat , ovate, susunan bersilang (alternate) dan mempunyai 5-9 keluk. Bunga berwarna keputihan dengan 5 segi berukuran 12 cm garispusat. Buanya mempunyai banyak bentuk daripada yang lurus panjang, bentuk 'peppo', bentuk botol, bentuk club-shape dan pelbagai warna dari hijau kepada coklat apabila matang. Isinya lembut seperti gabus dan lembut. Bijinya leper yang lebar dengan ukuran 10-25 mm panjang dan berwarna putih atau coklat.

Setiap 100 gram labu botol mengandungi sebanyak 95 gram air, Lemak (o,1 g), Karbohiderat (3.5 g), Vitamin A (10 IU), Vitamin B1 (0.03 mg), Vitamin B2 (0.02 mg), Vitamin C (11 mg), Niacin (0.4 mg), Ca (11 mg), Fe (0.4 mg), P (14 mg) dan sejumlah 63 kilojoule tenaga. Hampir 84% daripada hasil tumbuhan ini adalah boleh di makan (Edible). Pucuk daun muda digunakan sebagai sayuran daun dan ulam dengan di celur air panas atau di masak tumis atau masak lemak. Saya memang suka sayur pucuk labu botol muda dengan sambal belacan. Buahnya pula di gunakan sebagai sayuran dengan di masak sup, tumis, pangang dan sebagainya. Biji yang besar boleh di proses dijadikan 'kuaci' sebagai snek makanan ringan. Bijinya juga mengandungi minyak yang bernilai komersial. Buah yang cukup matang sering di jadikan barangan kraftangan yang cantik selain daripada dijadikan alat muzik yang menarik.

Penanaman labu botol dijalankan secara komersial di kawasan kebun sayur dengan menggunakan sistem para atau terbaik 'trellis system'. Tanah yang dipilih mestilan dari jenis tanam lom berpasir yang mempunyai saliran yang baik. Sebaiknya ditanam diatas batas dan ada para diatasnya. Penanaman menggunakan biji benih terpilih mengikut spesis. Di Johor dan khususnya Malaysia, Labu Botol jenis lurus panjang menjadi pilihan. Rendam biji benih selama 24 jam sebelum membubuh sebanyak 2-3 biji satu lubang. Jarak tanaman yang sesuai 1m x 2m untuk memberikan sebanyak 5,000 pokok sehektar. Benih akan tumbuh 5-7 hari kemudian dan pucuk akan mula menjalar 14 hari kemudian untuk di latih. Buang anak pokok yang lemah dan diserang penyakit. Pastikan sistem pengairan sempurna.

Kajian saya di Mersing mendapati selepas 55-65 hari kemudian pokok akan berbunga dan tumbuhan mampu hidup sehingga 5-6 bulan jika di urus dengan baik. Lazimnya bunga jantan akan keluar dulu diikuti dengan bunga betina dimana bunga betina akan terbuka untuk pendebungaan pada waktu tengahari. Pendebungaan dibantu oleh serangga khususnya lebah keran, lalat, rama-rama dan ada juga semut. Buah akan terbentuk 3-4 minggu dan perlu sentiasa di petik untuk menggalakan proses pengeluaran bunga. Bagi tujuan penghasilan biji benih labu botol, buah di biarkan masak di atas pokok selama 2-3 bulan sehingga kering.

Pokok Labu Botol sangat sensitif dengan cuaca lembab dan air bertakung. Penyakit Reput Batang (Sclerotium spp) mudah menyerang ketika musim hujan dan perlu dikawal. Penyakit lain seperti serangan Penyakit Antraknos (Collectotrichum lagenarium) dan Penyakit Kulapok Downy (Erysiphe chichoracearum) atau kulat jenis Sphaerotera fungitive. Kawalan dengan membuang bahagian terkena serangan dan penggunaan racun kulat. Seranagga yang menyerang labu botol seperti lalat Buah (Daucus spp), Ulat Pemakan Daun, Aphids dan sebagainya yang menyebabkan kualiti kulit buah menurun.

Kerja mengutip hasil dijalankan dengan memotong tangkai buah menggunakan pisau tajam pada buah yang sesuai di petik. Jangan petik terlalu muda atau terlalu tua di mana ini akan menjejaskan kualiti. Kajian menunjukkan sebanyak 20-25 biji buah labu botol mampu dihasilkan dari setiap pokok. Anggaran hasil paling banyak pernah dicatit sebanyak 40 -60 metrik tan sehentar bergantung kepada varieeti dan pengurusan tanaman walaupun purata lingkungan 20-30 mt sehektar sahaja. Buah yang dipetik di kumpulkan, dibersihkan dan di gredkan mengikut kualiti. Buah labu botol di masukkan dalam bakul buloh yang dilapik dengan kertas suratkhabar lama. Buah ini menurut kajian saya tanah sehingga 2 minggu.


LABU BOTOL....BERMACAM BENTUK.....
DI MASAK SUP....SEDAP TERANTUK...
BOLEH KURANGKAN...PENYAKIT BATUK...
TANAM SENDIRI....DI KEBUN DATUK....

By
M Anem
Mersing
Johor
Malaysia

No comments: