KUINI (Mangifera odorata) atau 'Buah Kuini' adalah sejenis buah-buahan tempatan dari Keluarga ANACARDIACEAE yang di percayai berasal dari Semenanjung Malaysia. Generasi baru kini mungkin ramai yang tidak kenal akan buah kuini yang saya sangat suka makan iaitu rasanya yang manis dan lemak serta mempunyai bau atau aroma wangi seperti juga 'Buah BACANG'. Pokok ini terdapat di Malaysia, Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina ,Guam dan juga Vietnam. Buah kuini juga di panggil sebagai Fragrant Mango ; Kweini ; Kuwini , Saipan Manggo (English), Huani ; Uani ; Juani (Filipina) , Kuweini ; manguier odorant (Perancis), Bembem ; Kwuini, kweni (Indonesia) dan Kinnning ; Mamuang chingreet ; Mamuang paa (Thailand). Kajian saya daripada buku laporan keluasan buah-buahan, di Malaysia oleh Jabatan Pertanian menganggarkan terdapat seluas 250 - 300 hektar CHE tanaman kuini di Malaysia pada tahun 2010. Kebanyakan pokok kuini ditanam d kawasan dudn bercampur dan kawasan keliling rumah di kampong tradisional. Artikel ini saya bincang mengenai teknologi tanaman kuini berdasarkan pembacaan dan kajian persendirian saya selama bertugas disektor pertanian selama 30 tahun.
Pokok kuini (Mangifera odorata) tumbuh dengan menegak yang berkemungkinan merupakan kacukan antara Mangifera indica dengan Mangifera foetida (Bacang). Ketinggian pokok kuini antara 10-15 meter tetapi di sesetengah tempat mampu mencapai sehingga lebih 20 meter. Batangnya adalah kayu keras dengan ukuililit batang 60-150 cm atau lebih bergantung kepada umur dan berwarna coklat perang. Daunnya berwarna hijau gelap dan berkilat serta tebal dengan susunan bertentang berukuran lingkungan 12-35 cm panjang dan 4-10 cm lebar. Pucuk muda daun kuini lembut dan berwarna cokklat merah ungu sebelum bertukar menjadi hijau. Bunga Kuini berbentuk banyak tangkai berrangkai bunga yang mana setiap tangkai mempunyai banyak bunga yang mana pendebungaan dilakukan oleh semut atau lebah (Lihat foto disebelah). Saiz bunga 5-6 mm x 1.2-2 mm iaitu kuning di pangkal serta pink di hujung. Akar pokok kuini jenis akar tunjang yang kukuh dalam tanah.
Buah kuini berbentuk bujur telur (elipsoid-oblong) dengan warna kulit hijau muda atau hijau kuning dan sering ada bintik-bintik hitam pada kulitnya. Buah yang berukuran 6-9 cm x 10-13 cm ini mempunyai kulit agak tebal (3-4 mm) dan keras sehingga kalau jatuh dari ketinggian 10-15 meter pun kerosakkannya minima. Biji kuini agak besar berada di tengah buah dan berserabut dengan ukuran 8-10 cm x 4.5-5 cm x 2.5-3 cm dan berbentuk leper. Isi buah kuini berwarna oren atau oren kemerahan , padat, juicy, berserat dan masam manis ketika separuh masak dan amat manis jika masak ranum. Paling istimewa adalah bau atau aroma kuini yang sangat wangi dan dapat dihidu dari jauh.
Kajian saya mendapati terdapat 3 klon kuini yang telah di daftarkan di Malaysia oleh Jabatan Pertanian dengan kod MAK (MAngga Kuini). Klon MAK 11 telah didaftarkan pada 17.7.1939 oleh pemiliknya En Shaharudin bin Hj Abas dari Kg Tambun malay Reserve, Ipoh, Perak. Klon ini bercirikan buah yang sederhana besar, kulit berwarna hijau dengan bau yang kuat dengan ini warna keemasan. ira isinya halus dan kurang berserabut. Klon MAK 51 telah didaftarkan oleh Encik Che Mat Akas bin Kolob Ibrahim dari Kg Bota Kiri, Parit Perak pada 16 Disember 1953. Klon MAK 51 mempunyai buah berzaiz besar, berair, berkulit hijau dengan bau yang sangat kuat. Bijinya adalah kecil dan mengandungi serabut yang agak rendah. Klon MAK 52 didaftarkan oleh Mrs Lim Seng Chiew dari Ulu Kinta, Perak pada 27 Mei 1957. Buah klon MAK 52 bersaiz sederhana, bentuk bujur, berbau kuat dengan warna kulit hijau kekuningan.
Pokok kuini di tanam dengan menggunakan biji dari buah yang terpilih dan cukup matang. Benih perlu disemai dalam polibeg 8 cm x 12 cm yang berisi tanah camporan sehingga sesuai untuk di ubah kelokasi penanaman (Setinggi 60-80 cm). Sediakan lubang penanaman dengan jarak 12 m x 12 m dan tanam anak benih kedalam lubang penanaman yang telah di gaul dengan baja organik. Sebaiknya berikan sungkupan dan jalankan penyiraman. Jika menggunakan benih kuini cantuman pastikan mata tunas kuini yang naik menjadi pokok bukannya mata tunas pokok penanti yang lebih 'vigorous'. Kumbang Koboi atau Kumbang Cockchafer sangat suka makan pucuk kuini muda terutama waktu malam pada peringkat awal penanaman. Kawalan dengan menggunakan racun malathion.
Pokok kuini seperti mana pokok mangga yang lain mudah diserang Ulat Pengorek Buah dan kadang-kadang Ulat Pengorek Batang. Oleh kerana kebanyakkan pokok kuini adalah besar dan tinggi kerja untuk menyembur adalah agak sukar. Kaedah yang sesuai adalah dengan memberikan racun serangga jenis Sistemik pada waktu vegetatif (tampang). Sebaiknya bubuh racun seperti Furadan 3-G selepas kerja memetik buah (PHI racun ini 3-4 bulan). Elakkan memberikan racun semasa pokok berbunga atau semasa berbuah. Lalat Buah (Daucus spp) juga menyerang buah kuini. Kadang-kadang terdapat Jelaga Hitam pada kulit buah dan menjejaskan kualiti buah. Paling sedih apabila kita kopek kulit buah kuini yang cantik dan halus kulitnya tetapi.....bila di belah rupanya 'ada orang' maksudnya sama ada ulat atau larva atau kumbang pengorek buah yang telah musnahkan isi buah!
Pembajaan dijalankan dengan memberikan baja organik dan baja Kimia seperti NPK 12:12:17:2 atau baja buah dengan kadar 100-150 gram sepokok setiap 3-4 bulan. Pokok kuini jarang di tanam dalam satu kawasan yang luas sebagai monocrop. Amalan Pakej Teknologi tanaman ini masih kurang di beri perhatian dan boleh dibangunkan. Harga buah Kuini juga tidak menentu kerana pengeluaran dan kualiti yang tidak konsisten. Kajian saya di Muar dan Melaka di Pasar Malam dan Pasar Besar mendapati harga kuini sekitar RM 10-RM15.00/kg atau 2-5 biji dijual pada RM 5.00 selonggok. Masa hendak beli pastikan penjual telah membelah beberapa biji dan di pamerkan untuk mempastikan isi buah tidak berulat atau rosak. Hanya yang tahu dan minat sahaja yang suka makan buah ini. Lepas makan biasanya serabut kuini akan sangkut pada gigi dan perlu dibuang dengan beneng atau 'teeth cleaser'. Sekian saja kali ini...
TANAM MANGGA...BUAH 'KUINI'.....
POKOK BESAR....BUAH PUN TINGGI....
BERBAU HARUM....SIMPAN DALAM GUNI...
KENA MUSIM....BARU BUAH MENJADI....
By,
M Anem
Asal Muar
Johor
Malaysia
No comments:
Post a Comment