Saturday, April 16, 2011

KLON AVOCADO


Avocado (Persia americana syn Persea gratissima ) merupakan sejenih buah yang popular di dunia tetapi tidak begitu popular di Malaysia. Buah ini hanya di kenali oleh beberapa orang lama yang berminat dengan tanaman ini seperti mereka yang bertugas di stesen Jabatan Pertanian , Universiti dan Pusat-pusat Penyelidikan Pertanian. Jabatan Pertanian telah mendaftarkan beberapa klon Avocado semenjak tahun 1953 dan menyimpan sebahagian daripada pokok-pokok tersebut di Pusat Pertanian. Di Pusat Pertanian Tangkak, Ledang, Johor contohnya terdapat beberapa pokok yang masih di jaga dan berhasil sehingga kini. Usaha untuk menyimpan pokok tersebut sebagai sumber janaplasma perlu dijalankan. Artikel ini akan membentangkan beberapa klon avocado dalam "Anim Agro Technology" yang telah di daftarkan dengan Jabatan Pertanian daripada kajian dan maklumat yang telah dapat saya kumpulkan untuk pengetahuan peminat tanaman avocado.


1. Avocado Klon A 7

Avocado jenis ini di panggil sebagai "Haji Abu" yang telah didaftarkan pada 5.10.1953 dari Pusat Pertanian Ampang Tinggi, Negeri Sembilan. Klon ini didaftarkan oleh Pegawai Pertanian Pusat tersebut. Buah jenis ini berbentuk 'pear' dengan saiz yang sederhana dan mempunyai kulit berwarna hijau. Buah ini senang di kupas apabila telah matang. Isinya berwarna kuning, lembut dan bijinya senang tertanggal dari isi. Saya tidak pasti sama klon ini masih terdapat di mana-mana stesyen pertanian, individu atau pihak tertentu di Malaysia kerana telah lebih 50 tahun didaftarkan.


2. Avocado Klon A 10

Jenis avocado klon A 10 yang di daftarkan pada 1956 di dapati di Lot 2835, Selama ,Perak oleh Jabatan Pertanian. Buah klon ini bersaiz besar, berwarna merah padam dan mempunyai kulit yang nipis. Tidak ada nama tempatan untuk klon ini. isinya lembut dan mempunyai mutu serta rasa yang sederhana. Varieti ini juga saya tidak pasti masih ada ditanam di Malaysia atau tidak kerana terlalu lama didaftarkan dan belum ada nilai komersil untuk ditanam. Sesiapa yang ada pokok induk varieti avocado ini boleh berhubung dengan Jabatan Pertanian berhampiran untuk disahkan dan di ambil untuk dimasukkan dalam  program koleksi janaplasma. 


3. Avocado Klon A 16

Bagi Buah Klon Avocado A 16 yang di daftarkan pada 18.5.1957 ini ditanam di Pusat Pertanian, Selama , Perak yang didaftarkan oleh Jabatan Pertanian. Buah mempunyai kulit yang hijau kekuningan dengan bentuk agak panjang dan membengkok. Buah ini juga meruncing di bahagian tangkai. Isinya pucat dan rasa buah adalah sederhana sedap. Klon ini pun saya dapati telah tidak ada di lokasi asal semasa lawatan saya di Selama, Perak. Klon ini berusia 55 tahun semenjak didaftarkan dan memang tidak ramai berminat untuk membiakkan klon ini kerana kurang kepentingan ekonomi.


4. Avocado Klon A 25

Kln avocado A 25 tiada nama tempatan dan didaftarkan pada tahun 1958 oleh pegawai pertanian. Pokok induk masih ada di Pusat Pertanian Tangkak, Ledang, Johor (saya bertugas di Muar selama 5 tahun dan beberapa kali makan buah avocado klon ini dari 2006-2010). Buahnya bila matang berwarna merah hati dengan saiz buah sederhana. Isinya tebal dan berbiji kecil dengan ira isinya yang halus dan rasa yang sangat sedap. Pokoknya masih hidup tetapi sudah tua dan perlu dibiakkan semula. 


5. Avocado Klon A 27

Klon ini didaftarkan pada 10.6.1958 oleh Pegawai di jabatan Pertanian Pusat Pertanian Serdang. Tidak ada nama tempatan untuk klon ini. Klon ini bercirikan dan menghasilkan buah yang kecil yang kulitnya berwarna jingga gelap. Isinya agak nipis dibahagian tepi tetapi tebal di bahagian atas dan bawah biji. Mutu dan rasa klon A 27 adalah dikategorikan sederhana. Pemeriksaan saya di stesyen tersebut mendapati klon ini masih ada pokok tua yang kurang penjagaan pada tahun 2000. Sekarang saya tidak pasti sama ada pokok klon ini masih hidup lagi atau telah mati. 


6. Avocado Klon A 30

Avocado ini telah di daftarkan pada 1.6.1958 oleh Pegawai Jabatan Pertanian yang bertugas di Pusat Komoditi Jabatan Pertanian Serdang, Selangor. Klon ini mempunyai buah yang besar dengan kulit berwarna jingga. isinya adalah tebal, halus serta berwarna 'cream'. Mutu buah adalah sangat baik. Klon ini juga saya tidak pasti sama ada masih ada di stesyen tersebut atau tidak. Rasanya kalau masih ada kita perlu biakkan dalam koleksi janaplasma kerajaan.

Tanaman Avocado kurang popular di Malaysia tidak seperti di Indonesia yang dijadikan buah-buahan penting dalam hidangan harian. Kita sendiri pun pandang sepi akan buah avocado yang berbuah di stesyen pertanian atau diladang petani yang mana buahnya tidak dipetik. Mungkin kempen kesedaran akan kebaikan khasiat buah avocado kurang didedahkan di kalangan pengguna di Malaysia tidak seperti beberapa negara lain didunia. Saya sendiri rasa tidak pernah membeli buah avocado selama ini. Potensi buah avocado untuk dikomersilkan memang besar kerana permintaan seluruh dunia untuk buah avocado memang tinggi terutama di Amerika Latin dan Barat. Diharap satu hari nanti buah ini akan dipopularkan di Malaysia bagi meningkatkan pengeluaran buah-buahan tempatan.

KLON BUAH ....BUAH AVOCADO...
MUDAH DI TANAM...BENIH DIMANA...
RASA SEDAP....MAKAN BERSAMA....
KURANG POPULAR...DI MALAYSIA SAJA...

By,
M Anem
Kompleks Pertanian Serdang,
Selangor,
Malaysia
(Ahad 9.05 pagi)

No comments: