JUT (Corchorus capsularis) adalah sejenis tumbuhan yang menghasilkan fiber dari keluarga MALVACEAE yang penting dalam industri penghasilan fiber didunia. Terdapat 40-100 jenis spesis tumbuhan jut di dunia tetapi hanya 10 spesis sahaja yang popular dan cuma dua sahaja yang di komersialkan secara besar-besaran. Spesis tersebut adalah Corchorus capsularis (White Jute) dan juga Corchorus olitorius (Tossa Jute). Tanaman ini di percayai berasal dari kawasan tropika dan sub-tropika diseluruh dunia. Tanaman jut merupakan tanaman yang di usahakan semenjak beribu tahun dahulu iaitu semasa zaman Firaun lagi di Mesir yang menggunakan fiber jut untuk pelbagai kegunaan. Nama2 lain bagi jut adalah Jute ; Bangla White jute , White Jute (English), Huang Ma (China), Kacang baju (Malaysia), Patsan ; Shuuti Paat., Tita (India), Po karacho ; Po seng (Thailand) dan San (Sanskrit). Artikel kali ini saya akan berkongsi maklumat mengenai teknologi tanaman jut berdasarkan pembacaan, kajian , pemerhatian dan rujukkan di beberapa buku 'An Introduction to the Tropical Botany' karya L.S. Cobley terbitan Longman.
Tanaman Jut atau 'Jute' merupakan tanaman untuk menghasilkan fiber dan merupakan kedua terpenting dalam kategorinya selepas tanaman kapas atau Cotton (Gossypium spp). Saya mendengar tanaman jut ini semenjak sekolah rendah lagi iaitu lebih 45 tahun dulu dengan melihat gambar2 tanaman jut pada buku-buku teks di sekolah di Muar, Johor (SKBR). Pada masa itu saya ingat tanaman jut adalah pokok yang ditanam di kawasan berair dan dibuat untuk tali (Foto sebelah). Kajian terkini menunjukkan pengeluaran jut didunia adalah sebanyak 2.84 juta metrik tan setahun dengan 65% dihasilkan oleh Negara India (1.8 juta metrik tan) diikuti dengan Negara Banladesh (0.85 juta metrik tan) dalam setahun. Negara lain yang menanam dan mengeluarkan jut adalah seperti China, Myanmar, Uzbekistan, Nepal, Vietnam, Thailand, Sudan dan Mesir. Negara pengimpot bahan jut didunia yang utama adalah seperti Britain, Ivory Coast, German , Sepanyol dan Brazil untuk diproses bagi kegunaan domestik dan ekspot.
Tanaman jut memerlukan air yang banyak di kawasan yang hujannya 1,000 hingga 1,500 mm taburan hujan setahun. Tumbuhan ini mempunyai batang tumbuh menegak berwarna hijau bulat dan mampu mencapai ketinggian sehingga 5 meter. Daun hanya di keluarkan pada bahagian pucuk jika ditanam secara 'Tanaman padat' dengan jarak penanaman 10-15 cm antara barisan (Foto sebelah). Daun jut adalah bersilang berwarna hijau tirus dan berukuran 5-12 cm panjang hanya di bahagian pucuk pokok. Bunga dalam bentuk kumpulan solitary dengan 5 kelopak berwarna kuning dan saiz kelopak lingkungan 5 mm panjang. Bentuk buah antara kedua spesis sangat berbeza dimana spesis C. capsularis mempunyai buah 'globular', kecil, bersegi dan berbentuk kapsul berukuran 1-2 cm yang leper di pisahkan dengan 5 segmen. Spesis C. olitorius mempunyai buah lebih besar berukuran 10 cm panjang berbentuk bulat panjang berwarna hijau gelap.
Penanaman jut dengan menggunakan biji benih matang yang disemai dulu di tapak semaian. Tapak semaian mestikan lembab dan rata seperti tapak semaian benih padi. Pastikan tiada masaalah saliran di tapak semaian seperti tanah terendam. Anak benih perlu di ubah kekawasan kebun sehingga mencapai kepadatan 500,000 anak benih sehektar iaitu tanaman padat dengan jarak penanaman 10-15 cm antara pokok. Tujuan tanaman padat adalah untuk mempastikan pokok tumbuh menegak dan menghasilkan batang pokok yang panjang untuk di ambil fiber kelak.
Kerja mengutip hasil yang pertama dijalankan selepas 100 - 130 hari selepas menyemai (Foto sebelah) atau menanam dimana ketika ini pada peringkat tampang kualiti fiber masih agak rendah berbanding dengan pokok jut yang dituai apabila cukup matang iaitu apabila sampai tahap berbunga dan berbuah. Ini disebabkan bahagian kulit pokok jut masih lembut dan xylum serta phylun cuma mengandungi 40% sahaja sel sclerenchyma yang belum matang (immature) dan sukar di siat kulit luar. Apabila pokok jut berbuah dan berbunga atau mencapai tahap matang, kerja membuang atau menyiat kulit akan menjadi lebih mudah berbanding dengan pokok muda.
Kerja menuai dijalankan dengan memotong pangkal pokok dengan parang tajam dan pokok di biarkan beberapa hari dibiarkan di kebun yang berair untuk proses mengugurkan daun secara semulajadi apabila pokok layu. Batang yang tiada daun ini kemudian di kumpulkan dan diikat dengan tali dalam 15 - 25 garispusat satu ikatan (Budle). Kemudian batang jut ini perlu direndam dalam parit, sungai, kolam , terusan sedalam 0.5 - 1 meter selama 5 minggu bergantung kepada ketebalan kulit kayu jut, suhu air (30 darjah) dan sebaiknya setiap ikatan mesti mempunyai saiz pokok yang seragam agar proses pereputan berlaku serentak. Jika perlu, batang yang terlalu panjang boleh di potong kepada ukuran panjang sesuai untuk mempercepatkan proses pengelupasan kulit kambium.
Bahagian kulit yang telah terlerai dari batang akan dikeluarkan, dibasuh sehingga bersih dan di kumpulkan sebelum di jemur untuk proses pengeringan untuk beberapa hari. Fiber jut yang setiap satu berukuran lingkungan 2-5 mm garispusat dan purata panjang 3 meter akan di susun dan di jual kepada kilang yang akan menenun fiber jut tersebut. Kilang memproses fiber jut akan memproses dan menjadikan jut kepada pelbagai produk untuk di ekspot atau kekilang lain yang membuat tali, guni, kasut, tikar, hiasan rumah dan pelbagai lagi kegunaan fiber dari jut ini.
Bahan Mentah dari Fiber jut digunakan dalam membuat produk yang boleh diurai atau reput serta mesra alam berbanding dengan produk-produk sintetik masa kini seperti plastik dan logam. Permintaan produk dari fiber jut tetap kekal tinggi. Teknologi terkini menggabungkan fiber jut dengan bahan-bahan lain untuk dijadikan 'kapas tiruan' atau 'immitation cotton' yang berkualiti dan mendapat permintaan yang baik. Pengguaan produk jut paling baik adalah untuk di buat lantai, karpet dan perhiasan dinding yang baik untuk kesihatan manusia. Kini jut juga di gunakan dalam industri cat, perubatan dan juga rekaan dalaman. Di sesetengah negara di benua Afrika kepentingan tumbuhan jut sebagai sumber makanan masih ujud dan juga beberapa industri hiliran.
Cabaran utama industri tanaman jut adalah kerana aktiviti penanaman jut memerlukan tenaga buruh yang ramai dan pulangan tidak setinggi yang sangat diharapkan berbanding dengan tanaman lain. Hanya negara India, Bangladesh dan China yang mempunyai penduduk dan tenaga buruh yang ramai dan murah mampu menanam jut secara besar-besaran. Malaysia mungkin tidak akan menanam jut secara komersial kerana tanahnya dan faktur kos buruh serta pulangan yang kurang ekonomik. Tanaman jut di Malaysia hanya untuk tanaman hiasan, Kajian dan penyelidikan dan juga lain-lain tujuan yang difikirkan perlu. Diharap artikel ini dapat memberikan maklumat mengenai teknologi tanaman jut untuk anda.
TANAMAN JUT ....BANYAK DI INDIA....
DIKAWASAN BERAIR...SESUAI JUGA....
PRODUK JUT...PELBAGAI GUNA....
ADA YANG MAHAL...MEMANG BERGAYA...
Related articles :
1. Sisal (Klik disini)
2. Rami (Klik disini)
3. Aibika (Klik disini)
4. Pokok Kekabu (Klik disini)
By
M Anem
Melaka
Malaysia
No comments:
Post a Comment