Sunday, February 13, 2011

KEASIDAN TANAH DAN PENGAPORAN


Keasidan Tanah dan Pengapuran tanah adalah satu perkara penting dalam aspek kesuburan tanah. Keasidan tanah yang terlalu tinggi atau terlalu rendah menjejaskan pertumbuhan tanaman kerana akar-akar tanaman tidak dapat tumbuh dengan baik bagi meyerap zat-zat makanan dalam tanah. Penghasilan tanaman juga terjejas jika berlaku perubahan keasidan atau kemasaman tanah semasa proses pengeluaran hasil sedang berlaku. Tanah yang sangat masam perlu dijalankan Pengapuran (Liming) untuk mengurangkan kemasaman tersebut mengikut kadar yang disyorkan. Artikel kali saya menulis teknologi mengenai keasidan tanah, langkah-langkah memperbaiki keasidan tanah dengan pengapuran dan pH Tanah berasaskan kepada pembelajaran ketika belajar di universiti dulu dan pembacaan beberapa buah buku.

Tanah pertanian terbentuk daripada pelbagai bahan induk sebelum boleh digunakan sebagai tanah yang sesuai untuk tanam-tanaman melalui proses yang lama. Tanah boleh dikategorikan sebagai Tanah Masam (Berasid), Tanah Neuteral dan juga Tanah Beralkali. Nilai keasidan tanah ini di ukur dengan skala pH iaitu satu skala yang digunakan untuk mengukur dalam lingkungan julat 1 - 14 dimana pada bacaan skala 7 adalah di panggil Neuteral. Air bersih atau air tulin mempunyai bacaan 7 jika ianya neuteral. Tanah biasanya mempunyai tahap keasidan pada skala 3 pada tanah berasid (Seperti tanah asid sulfat) dan berada pada skala 8-9 iaitu tanah yang ada batu kapor. Kebanyakan tanah pertanian yang berada di atas muka bumi mempunyai pH antara 4.5 hingga 7.5.

Cara untuk menguji kemasaman dan keasidan tanah mudah dijalankan dengan menggunakan kertas litmus yang akan berubah warna apabila di kenakan dengan larutan atau pada sampel tanah. Bacaan keasidan akan diperolehi dengan mempadankan warna kertas litmus tersebut dengan carta indek bacaan (Standard colour chart - Munsell Color Chart) sama ada ianya tanah berasid, neuteral atau beralkali. Kini kaedah untuk mengetahui pH tanah sangat mudah dibuat dengan Alat Eletronik pH Meter yang murah, tahan lama dan mudah digunakan (Foto sebelah). Cucukan alat pH meter (Berbentuk Kon atau lain2 bentuk) kedalam sampel tanah dan bacaan akan didapati sertamerta dengan ketepatan yang jitu. Alat ini boleh dibawa dengan senang dan boleh juga digunakan untuk ujian pH air disekitar kebun.

Tahap keasidan dan alkali dalam tanah akan mempengaruhi keujudan sesetengah unsur makanan dalam tanah untuk tumbuh-tumbuhan (Unsur utama dan unsur pekit). Contohnya unsur Kalsium adalah sangat rendah dalam tanah berasid yang mempunyai pH rendah tetapi agak sukar juga untuk menentukan kandungan unsur Aluminium atau Manganese dalam keadaan tanah berasid. Ini kerana kedua-dua unsur tersebut larut dalam keadaan berasid. Pada keadaan tanah yang tinggi pH pula sering terdapat kekurangan unsur Zat Besi (Fe), Manganese dan Boron kerana unsur tersebut tidak larut dalam air dan akar pokok tidak dapat menyerap zat tersebut.

Agak sukar untuk memberikan keperluan bacaan pH yang tepat untuk setiap jenis tanaman sayuran tetapi tanaman yang tumbuh pada tanah organik lazimnya lebuh subur (pH neutral/tinggi) berbanding tanah mineral yang mempunyai pH yang rendah (Berasid). Bagaimana pun tanah paling sesuai untuk tanaman sayur-sayuran berada pada pH 6.0 - pH 6.5. Kajian saya mendapati tanah sayuran jenis daun di Projek sayuran Kelompok Komersial di Sengkang, Muar, Johor seuas 500 ekar mempunyai pH lingkungan pH 5.5 - pH 6.0 (Tanah gambut secondary). En Tan Soo Tiok selaku ketua kelompok kawasan tersebut sentiasa menggunakan air gunung (Neuteral) dan pengapuran serta banyakan baja organik untuk kekalkan pH sesuai dan kesuburan tanah. Kelompok ini adalah Johan Pertandingan kelompok Kebangsaan tahun 2009.

Pengapuran adalah satu kaedah untuk memperbaiki pH tanah dengan meningkatkan skala pH tanah daripada rendah kepada lingkungan pH 6.5 (atau skala pH5.8 untuk tanah gambut). Kaedah pengapuran mesti diasaskan kepada bacaan kemasaman sedia ada bergantung kepada jenis tanah. Lazimnya pengapuran menggunakan Ground Magnesium Limestone (GML) atau lain-lain bahan dengan kadar sebanyak 2-4 mt sehektar. Terdapat pelbagai jenis batu kapor digunakan bergantung kepada bekalan, harga dan cara penggunaan. Kini ada satu teknologi pengapuran yang menggunakan cecair keluaran syarikat HUMIBOX (Foto sebelah) yang didakwa sangat berkesan dan cekap untuk memperbaiki pH tanah dan tumbuhan kerana ianya 'halus dan fast release'.

Bilakan kita hendak menjalankan pengaporan ? Oleh kerana tujuan pengaporan adalah untuk meneuteralkan kemasaman tanah tetapi prosesnya adalah agak perlahan. Jika menggunakan GML terus kepada tanah yang telah ada tanaman, ianya boleh merosakkan tanaman tersebut kerana kapor agak panas. Lazimnya pengaporan dijalankan semasa penyediaan tanah (sewaktu membajak, merotor) atau sebelum kerja-kerja menyemai dijalankan. Tabur kapor secara manual dengan tangan atau menggunaka jentera yang sesuai. Pengaporan sering dijalankan sekali dengan pemberian baja organan (tahi ayam) diatas batas semasa meyediakan batas dengan merotor di kawasan sayuran komersial.

Tanah di Malaysia perlukan pengapuran bagi mempastikan kesuburan tanah pada pH yang sesuai untuk tanaman makanan. Kadar larutresap yang tinggi akibat hujan lebat mempercepatkan kemasaman tanah di Malaysia. Penggunaan baja sebatian kimia juga menyumbang keasidan tanah dan perlu di kawal dengan menggunakan Kapor GML untuk mengatasinya. Pembajaan perlu dijalankan bersama aktiviti pengapuran diatas tanah mengikut Amalan Pertanian Baik.

TANAH MASAM.....PERLU DI KAPOR....
KAPOR GML....MURAH & MUDAH DI TABOR...
KERJA MENGAPOR...BADAN JADI KOTOR...
HASIL LUMAYAN....PASTI BERSYUKOR...

By,
M Anem
Pct 11
Ptjya

No comments: