Saturday, July 17, 2010

Nenas Moris Kedah


Pokok nenas yang ditanam padan antara pokok getah En Heng.


Nenas (Ananas cosmossus) merupakan tanaman buah-buahan yang selama ini sangat popular di Johor dan merupakan satu komoditi yang sesuai sebagai tanaman tunggal atau pun tanaman selingan. Penanaman nenas kini telah mula berkembang di Kedah, Pulau Pinang, Sarawak, Pahang dan beberapa negeri lain. Baru-baru ini penulis telah membuat tinjauan teknologi berkenaan tanaman nenas morris di Kg Charok Beras, Kuala Ketil dalam Daerah Baling Kedah yang ditanam sebagagai tanaman selingan dengan pokok getah. Pengusaha yang di temui ialah Encik Heng Joo Chai yang berasal dari Pulau Pinang dan telah menanam nenas seluas 2.5 hektar disekitar Kedah. Nenas yang ditanam kebanyakkanya dari jenis nenas Moris dan hanya 20% jenis nenas Josapine. Nenas tersebut adalah untuk pasaran segar di Pulau Pinang, Kedah dan Perak Utara. Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai penanaman nenas secara selingan dengan tanaman getah yang dilaksanakan secara komersil oleh ramai petani di sekitar utara Semenanjung Malaysia seperti di Kedah ini untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.

Semasa saya membuat tinjauan, Pembantu Pertanian kawasan iaitu Encik Mohd Yunos menjelaskan perkhidmatan pengembangan tanaman nenas morris di berikan sebagai satu program SPTP Jabatan Pertanian. Encik Heng menanam sebanyak 70,000 sulur nenas morris yang kini berumur 8 bulan dan sistem tanaman yang dijalankan merupakan Sistem Tanaman Padat Nenas (STPN). Tanah dikawasan kebun getah merupakan tanah mineral yang subur dengan jenis lom berpasir. Tanah tersebut disewa dari penduduk kampong yang memberikan sewa dengan kadar RM 300.00 setahun. Perjanjian dengan tuan tanah adalah En Heng menanam nenas dan menjaga pokok getah sehingga kawasan tidak sesuai lagi untuk ditanam nenas. Pokok getah berumur 2 tahun ditanam nenas diantara barisan dan didalam barisan tanaman getah. Menurut En Heng sistem tanaman padat ini dapat membantu dalam kawalan rumpai dan pengeluaran hasil yang tinggi. 

Tidak ada sistem pengairan dalam kebun nenas beliau. Kedudukan kebun tersebut juga agak jauh dengan sungai ataau parit untuk dijadikan sumber bekalan air. Terdapat 6 buah tong drum yang diletakkan di lokasi khusus bagi tujuan mengutip air hujan untu sumber air bagi semburan racun rumpai (Lihat foto sebelah). Tong drum ini dipasang dengan sekeping atap zink bagi menampung kutipan air ketika hujan lebat kerana jika tiada zink kadar kutipan air kedalam tong drum amat sedikit. Air ini merupakan air yang akan digunakan bagi dicampurkan dalam tong racun dan racun rumpai untuk disembur bagi kawalan rumpai. Racun rumpai hanya akan di sembur pada laluan jalan kebun dan juga di tepi-tepi kebun. Penyemburan racun rumpai dijalankan 3 kali dalam setahun. Selainnya kawalan rumpai dijalankan secara manual.

Baja nenas diberikan mengikut pakej teknologi yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian. Baja campuran Bordeoux Mixture juga digunakan oleh En Heng dan saya dapati pertumbuhan nenas sangat subur dan seragam. Kerja-kerja di ladang dibuat oleh 3 orang pekerja asing yang dibayar upah antara RM 25.00- RM 28.00 sehari. Kerja-kerja utama yang dijalankan oleh pekerja asing tersebut dari merumput, meracun, memotong, mengutip sulur serta buah dan pembajaan. Pil ANAA digunakan untuk aruhan pembuahan buah nenas apabila pokok nenas moris telah berumur 8 - 9 bulan keatas. Pill ini dibeli dari Pulau Pinang dengan harga RM20.00 satu botol. Saya terangkan kepada En Heng bagaimana ciri-ciri pokok nenas yang boleh dibubuh pil ANAA untuk aruhan bunga. Jawabnya adalah dimana pangkal pokokk akan kelihatan membesar dengan daun yang padat dimana di Negeri Johor ia dikatakan pokok telah 'Memunggung'.

En Heng mendakwa nenas beliau lebih manis daripada Nenas Morris Johor yang ditanam dikawasan tanah gambut dan nenas beliau dipasarkan di Pulau Pinang untuk pasaran segar. Dakwaan ini disahkan oleh Pembantu Pertanian kawasan yang nyatakan bacaan kemanisan buah nenas morris kawasan Baling mampu capai sehingga 15-16 darjah Brix sedangkan saya dapati nenas moris di tanah gambut sekitar 10 - 13 brix sahaja. Buah-buah yang telah dituai akan digredkan mengikut saiz dan kualiti. En Heng mempunyai 3 gred nenas morris iaitu Gred A (8% daripada jumlah penghasilan), Gred B (10% daripada jumlah hasil) dan Gred C (10%) daripada jumlah hasil. Nenas segar beliau akan di bawa ke Pulai Pinang dan di jual dengan harga RM 1.50-RM 1.60 sebiji (Gred A), RM 0.85 sebiji (Gred B) dan RM 0.40 sebiji (Gred C). Setakat ini beliau membawa sendiri nenas yang dihasilkan ke Pulau Pinang dengan lori kecil kepada pemborong nenas di Pulau Pinang. Dilihat dari segi ekonomi, saya dapati penanaman nenas morris oleh beliau memang menguntungkan kerana beliau masih mencri kawasan baru untuk memperluaskan lagi penanaman nenas di sekitar negeri Kedah.

Menurut En Heng tanaman nenas morris beliau akan dituai selama 5-6 tahun dengan penjagaan yang sempurna. Selain daripada jualan nenas segar beliau juga menjual sulur nenas kepada petani-petani lain disekitar yang ingin menanam nenas dengan harga RM 0.15 -RM 0.20 satu sulur. Ditanya bagaimana beliau dapat menguruskan sistem pemasaran nenas, beliau nyatakan selain kebun yang saya lawati beliau ada beberapa kebun lain di sekitar Baling, PokoK Sena, Kulim dan Bulit Tambun di Pulau Pinang. Jumlah keluasan kebun nenas beliau mencapai 24 ekar keseluruhannya. Penjadualan tanaman yang betul membolehkan beliau dapat menghasilkan purata 3,000 - 8,000 biji nenas setiap minggu untuk pasaran segar. Projek tanaman nenas diatas tanah mineral En Heng yang dijalankan sebagai tanaman selingan kawasan penanaman semula getah ini merupakan satu contoh projek yang menguntungkan dan berjaya untuk dijadikan contoh oleh petani lain.
Wasallam!


TANAM NENAS ....TANAMAN SELINGAN.....
KEBUN GETAH... TANAH DISEWAKAN......
ADA KELUAR HASIL...SANGAT LUMAYAN.....
DAPAT UNTUNG...TEMPOH KEJAYAAN...

By,
M Anem
Kulim, Kedah,
Malaysia.
Julai 2010
(Kemaskini pada 16 Febuari 2013)

No comments: