Saturday, June 26, 2010

Tanaman KUNYIT



KUNYIT (Cucuma domestica val.) adalah sejenis tanaman umbisi dari keluarga Zingiberaceae yang mempunyai nilai komersil. Tumbuhan ini dipercayai telah lama ditanam di India sejak zaman silam lagi dengan nama kunyit ini wujud dalam bahasa Sanskrit. Negara India dan Indo-Malesia dianggap penting dalam penanaman kunyit yang menganjur dari Cochin-China dengan terdapat rekod dari ekspedisi Marco Polo. Pada lingkungan tahun 1280, terdapat laporan yang ada menyebut bahawa dikawasan Koncha (berjiranan Fokien, China) terdapat sejenis sayuran yang bercirikan betul-betul 'saffron' (iaitu sejenis bahan pewarna dari stigma kuning dikenali sebagai bahan Crocus sativus tetapi ia bukan 'saffron' yang benar. Apa yang dimaksudkan oleh pelayar ini mungkin serbuk kunyit yang warnanya kuning seperti 'saffron' itu. Walau bagaimana pun pada masa sekarang ini kunyit pada umumnya telah dijumpai dan dutanam di serata rantau tropika dan beberapa kawasan subtropika. Tanaman kunyit di Malaysia juga dilakukan tetapi kebanyakannya secara kecil-kecilan atau ditanam dikawasan keliling rumah untuk diambil daunnya. Daun kunyit adalah bahan penting digunakan dalam masakan tradisional Melayu iaitu Masak Singgang. Artikel kali ini saya menulis untuk 'Anim Agro Technology' yang membincangkan mengenai teknologi tanaman kunyit berdasarkan pengalaman dan pembacaan penulis yang bertugas sebagai pegawai pengembangan pertanian selama lebih 34 tahun.

Nama kunyit boleh didapati dalam berbagai bahasa di kawasan Asia. Dalam bahasa Sanskrit ia dipanggil Harida, Arab (Kukum), Tamil (Manjal), Inggeris (Tumeric), China (Kiang-hoang) dan dalam bahasa Jawa (Kunyir). Daripada perkataan Arablah kita dapat sebutan Latin iaitu nama 'Curcuma' dan diberi nama latin sebagai Cucuma domestica. Tanaman kunyit di Malaysia ditanam seluas 154 ha (2006) menurun kepada 79 hektar (2009) dan dianggarkan seluas 70 hektar pada tahun 2013 dengan anggaran hasil sebanyak 610 metrik tan. Nilai pengeluaran hasil dianggarkan sebanyak RM 1.64 juta. Kajian penulis menunjukkan tanaman kunyit dalam kategori TIDAK POPULAR memendangkan keluasannya yang amat sedikit berbanding dengan produk kunyit yang diperlukan. Kebanyakan produk berasaskan kunyit adalah diimpot dari luar negara terutama dalam industri serbuk kari dan lain-lain industri berkaitan. Kini kunyit hanya banyak di tanam dibeberapa negeri seperti di Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah. Hampir 40% tanaman kunyit adalah di Negeri Selangor terutama dibebarapa kawasan tanah gambut untuk pasaran segar sahaja. Maklumat yang saya dapati mendapati penanaman kunyit secara monokrop komersil yang luas amat jarang dijumpai kerana kebanyakan petani menanam kunyit secara kecil-kecilan.

Kunyit merupakan tumbuhan herba saka tetapi ditanam sebagai tanaman tahunan. Tingginya boleh sampai 1 meter berbatang pendek dan daun-daunnya berjumbai. Pelepah-pelepah daunnya membentuk batang. Ubi utamanya dipanggil rizom, bulat panjang mempunyai tunas-tunas cabang berkembang membentuk anak-anak ubi sisi yang mempunyai gelang-gelang rapat. Bahagian rizom dan ubi sisi inilah yang digunakan sebagai rempah-rempahan. Ubi sisi ini bercabang-cabang lagi sehingga keseluruhannya membentuk suatu rumpun. Bekas-bekas akar nampak jelas pada ubi-ubi sisi ini yang berwarna jingga kecoklatan dari luar. Pada bahagian dalamnya berwarna jingga terang atau agak kuning. Rasa ubi ini agak pahit dan getir dengan bau yang khusus. Ia berbunga di hujung batang dan panjangnya 10 - 15 sm. Daun-daun pelindung bunganya berwarna putih atau putih bergaris-garis hijau atau merah jambu di hujungnya manakala yang terletak di bahagian bawah hijau muda. Bunganya putih atau kuning pucat dan mekar atau kembang bersama-sama.

Kunyit sesuai ditanam di kebanyakan tempat di Malaysia yang mempunyai iklim panas dan lembab dengan suhu 15 darjah celsius - 35 darjah celsius. Ia boleh ditanam di dataran rendah dari paras laut hinggalah pada paras 1,220 meter atas paras laut. Curahan hujan yang berterusan terutamanya di kawasan tadahan hujan adalah baik untuk penanaman kunyit. Hujan tahunan yang optima untuk kunyit ialah di sekitar 100 sm hingga 200 sm. Hujan sederhana lebat diperlukan semasa menanam dan hujan lebat semasa peringkat awal vegetatif. Keadaan kering selama sebulan diperlukan sebelum penuaian dijalankan.

Keadaan tanah sesuai bagi tanaman kunyit, biasanya bersaliran sempurna dan subur yang terdapat pada tanah jenis lom. Tanah rendah yang boleh bertakung air tidak sesuai kerana ianya peka terhadap keadaan terendam. Ketahanan pH tanah bagi tumbuhan ini ialah antara 4.3 dan 7.4. Pada tanah yang terlalu kering ketika musim yang agak panjang, bantuan pengairan diperlukan. apa yang saya kaji mendapati Varieti yang khusus dari tempatan jarang ditemui melainkan dari India di mana pelbagai varieti dikeluarkan dan dibiakbaik untuk tanaman komersial. Varieti-varieti yang ditanam di India yang sama keperluan ekologi-fisiologinya dengan Malaysia. Terdapat 5 varieti yang diusahakan di Malaysia. Varieti Col-I matang dalam tempoh 285 hari dengan hasil sekitar 30 mt/ hektar. Varieti kedua Jenis Rangga matang dalam tempah 250 hari dengan potensi hasil 29 mt/ha. Varieti ketiga Jenis Rasmi matang dalam tempoh 24 hari dengan potensi hasil 31 hari sementara variety keempat Jenis Roma matang dalam masa 250 hari dangan potensi hasil 21 mt/ha. Varieti kelima Jenis Suguna matang dalam tempoh 190 hari dengan potensi hasil 29 mt/ha.



Bahan tanaman kunyit adalah dari cebisan rizom dari bahan yang terpilih berat 20 kg tiap-tiap satu digunakan sebagai bahan tanaman pada kadar 2.0 tan/ha. Rizom perlu cukup tua, sihat dan mempunyai 1-2 mata tunas. Untuk mendapatkan cebisan bahan tanaman yang sihat, adalah dinasihatkan agar petani dapat memperolehinya terus dari ladang tanaman yang telah mengeluarkan hasil. Untuk memastikan cebisan rizom ini bebas dari penyakit, racun kulat perlu digunakan. Bagi tujuan ini cebisan rizom direndam dalam larutan racun kulat selama 15-30 minit. Untuk mendapatkan pokok yang seragam, aktiviti membubuh bahan pra-cambahan selalunya diamalkan. Ini memastikan tiada berlaku kegagalan pertumbuhan pada sesuatu lubang tanaman itu. 


Kunyit segar dan serbuk
Kunyit ditanam dengan bermulanya musim hujan di atas batas berukuran 1-1.5 meter lebar dan tinggi 20 sm serta panjang yang bersesuaian. Ianya ditanam sedalam lebih kurang 6-8 sm. Jarak tanaman yang disyorkan 45-60 sm antara baris dan 25 sm antara pokok. Setelah ditanam cebisan pra-cambah, ianya diberikan lindungan sementara sehingga tanaman berumur kira-kira 3 bulan. Baja organik (tahi ayam) pada kadar 4-5 tan/ha/musim digaulkan ke dalam tanah 3-5 hari sebelum menanam. Baja in-organik dengan kadar 60:30:90 kg NPK/ha dibubuh 3 kali sepanjang penanaman. Kunyit banyak diproses dan dan dijual dalam bentuk kunyit serbuk banyak dijual dalam pasaran (Lihat foto disebelah). Penanaman kunyit perlu diteruskan untuk bekalan segar dalam Negara dengan galakan serta jaminan pasaran yang baik. Pihak penyedidikan juga perlu terus pro-active dalam mencari varieti-varieti kunyit baru yang mampu memberikan hasil yang tinggi dan mudah dipasarkan. Setakan ini orang Malaysia cuma banyak bertanya mengenai 'Halia Bara' sahaja dan amat kurang ambil kisah kunyit untuk dijadikan tanaman komersil. Semuga industri kunyit negara berkembang baik dimasa akan datang. Wasallam!.

POKOK KUNYIT ....DIPASU TANAMNYA...
SERBUK KUNYIT...KUNING WARNANYA...
DAUN KUNYIT.... MASAK SINGGANGNYA.....
TEKNOLOGI KUNYIT...ADA DIMANA-MANA...

Related articles:
1. Halia (Klik disini)
2. Lempoyang (Klik disini)
3. Lengkuas (Klik disini)
4. Asam Gelugor (Klik disini)
5. Herba di Malaysia (Klik disini)

By,
M Anem,

Senior Agronomist,
Kg Paya Dalam, 

Melaka Tengah,
Melaka , 
Malaysia.
(Revised on 11 Oktober 2012)



No comments: