Wednesday, April 9, 2014

PEDAS (Part 1)

PEDAS (Hot) merupakan satu perkataan yang dikaitkan dengan satu 'deria rasa'. Ada juga perkataan pedas ini dikaitkan dengan 'kata-kata pedas'  atau sindiran dalam terjemahan sosial pada masyarakat umum. Bagaimana pun kali ini saya buat entri mengenai 'rasa pedas' yang akan melibatkan 6 deria manusia selain daripada rasa manis, masin, masam, panas dan sejuk pada lidah dan mulut kita. RASA PEDAS berlaku pada deria sensitif seperti pada lidah, bibir, mata, tapak tangan, kemaluan dan sebagainya. Tindakbalas rasa pedas akan berlaku sekiranya kita tersentuh bahan penyebab seperti cili yang mengandungi bahan 'Capsaicin' yang memberikan rangsangan kepada saraf deria manusia. Kesannya adalah seperti panas pada deria dan jika terkena pada mulut dan mata akan terus mengeluarkan rembesan cecair jernih secara semulajadi. Beberapa bahan makanan memang mempunyai kesan rasa pedas apabila dimakan seperti bawang merah mentah, daun kucai, wasabi, cili api, cili besar dan banyak lagi. Rasa pedas ini merupakan satu nikmat kepada mereka yang sukakan makanan pedas untuk menambahkan selera makanan. Bagaimana pun rasa pedas ini tidak digemari oleh ramai pendduk dunia kerana ia menyiksakan. Artikel pagi Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai satu deria rasa yang penting iaitu "PEDAS" untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.  


Makanan yang berasaskan 'Rasa Pedas' merupakan satu kemestian didalam hidangan orang kita di Malaysia dan juga banyak jenis makanan Orang India. Lazimnya bahan utama yang menghasilkan rasa pedas seperti cili api, cili boh, cili kering, cili besar, kari, sos cili dan sebagainya digunakan sebagai ramuan utama dalam penyediaan masakkan pedas.  Sebut sahaja menu Sambal Belacan, Sambal Tumis, Sambal Ikan Bilis, Sambal Asam dan lain-lain jenis sambal semuanya adalah rasa pedas. Masakan Kari juga dikategorikan sebagai makanan yang pedas dimana ia menggunakan banyak bahan campuran dari pelbagai jenis rempahratus yang pedas termasuk bahan cili yang dikisar menjadi serbuk. Memang dinegara kita terdapat makanan yang membawa nama 'pedas'. Antaranya seperti Asam Pedas, Ikan Keli Goreng Sambal Pedas, Bubur Pedas, Nasi Goreng Kampong (Pedas), Ikan Bakar Pedas Bersambal, Sambal Kupang, Masakan Ikan 3 Rasa dan banyak lagi yang saya tidak dapat senaraikan. Ada juga nama-nama masakkan yang tidak diberi nama pedas tetapi mempunyai rasa yang juga pedas. Rakan kita dari Negara Thailand sering membawa serbuk cili api ketika berkursus di luar negara kerana mereka memang sukakan makanan yang pedas-pedas. Lazimnya produk cili sebuk dalam botol kecil akan ditabur dalam kuah atau lauk malahan dalam nasi ketika makan tengahari diluar negara seperti Filipina yang memang tiada rasa pedas pada makanannya.


Ada orang yang 'Tidak Suka' akan rasa pedas tetapi kebanyakan orang Melayu yang sihat suka akan makanan pedas.  Di Malaysia juga kaum Cina juga pada zaman dulu dikatakan tidak suka makanan pedas secara umumnya tetapi kini ianya telah berubah. Generasi baru mulai makan makanan pedas dengan selera sekali. Kalau anda perasan memang amat berbeza antara menu Nasi Goreng Kampong dengan Nasi Goreng Cina yang kita makan direstoran. Ramai dikalangan rakyat Malaysia yang mempunyai masaalah 'Gastrik' juga dikatakan kurang sesuai makan makanan pedas yang mengandungi banyak cili. Ini kerana tindakbalas cili pedas akan menyebabkan mereka akan sakit perut. Sesetengah orang pula akan lelah atau semput atau asma jika termakan makanan yang pedas-pedas. Golongan ini selalunya perlu amat berhati-hati didalam memilih jenis makanan dan elakkan makanan pedas walau pun selera terbuka hendak menjamahnya.


Saya bagaimana pun akan mengupas beberapa fakta berkaitan kebaikan dan manfaat Makanan Pedas. Dalam beberapa rujukkan dengan pakar permakanan, terdapat 8 kebaikan mengenai makanan pedas boleh dibincangkan. Pertama sekali ia dikatakan Melancarkan pernafasan. Makanan pedas bertindak seperti ubat untuk yang mempunyai masalah pernafasan dan membantu pesakit asma, bronkitis kronik, sinusitis dan penyakit pernafasan yang lain agar bernafas lebih baik. Pedas juga mampu Menjaga Mood kita. Ini kerana makanan pedas boleh meningkatkan penghasilan hormon yang memberi rasa ketenangan iaitu jenis bahan seperti Serotonin. Hasilnya, makanan ini mampu membantu mengurangkan depresi dan stress. Paling istimewa adalah makanan pedas didakwa mampu Mencegah Kanser seperti ramai orang telah dakwa.  Sebenarnya telah banyak penelitian yang menunjukkan kuantiti teratur makanan pedas akan dapat mengurangi risiko kanser. 'Capsaicin' iaitu sejenis zat dalam cili dapat menyebabkan rasa panas, terbakar bila terkena pada kulit dengan kontek terus. Ia akan memperlambatkan pertumbuhan sel kanser dan pada banyak kes sel-sel kanser mati tanpa merosakkan sel di sekitarnya. Menurut laporan American Association for Cancer Research, bahan capsaisin juga memiliki kemampuan untuk tujuan membunuh beberapa sel kanser dan leukimia. Sedangkan kunyit, yang dijadikan bahan dalam kari dan mustard, boleh memperlambatkan proses penyebaran kanser dan juga pertumbuhan tumor. Untuk memberikan hasil semaksima mungkin dicadangkan untuk mencampurkan dengan lada hitam untuk menyerap kunyit 2,000 peratus lebih banyak.


Menafaat rasa makanan pedas keempat adalah ia mampu Memperbaiki Fungsi Penghadaman makanan dalam perut. Manfaat cili dalam saluran penghadaman adalah meningkatkan aliran darah di perut dan meningkatkan lapisan mukus. Capsaisin juga membantu membunuh  bakteria jenis H.pylori iaitu penyebab penyakit gastrik. Akan tetapi jika anda mengalami heartburn (rasa panas) setelah makan pedas, cubalah tablet antiacid yang akan meneutralkan asid di perut. Ia juga dikatakan mampu dalam Menghilangkan Gejala Selsema pada pengidapnya. Capsaisin mampu membantu meningkatkan pengeluaran peluh dan menghilangkan gejala selsema yang mengganggu. Makanan pedas juga akan membantu untuk membuka pernafasan, mengurangkan radang pada saluran pernafasan dan gejala selsema yang lain. Begitulah maklumat mengenai pedas yang dikupas kali ini. Sila baca artikel mengenai pedas pada artikel part 2 (Sila klik disini). Wasallam!.

RASA PEDAS....  PANAS BERAPI...
CAPSAICIN PENYEBAB...DARI CILI...
PENYEDAP MAKANAN... CILI API...
MENULIS ARTIKEL... SETIAP HARI...

By,
M Anem,
Bengkel Kereta WM Auto,
Taman Equine, Serdang,
Selangor,
Malaysia.
(4 Muharam 1435H).
Kemaskini pada 10 April 2014

.

No comments: